RHB Bank kekal rakan bank rasmi MATTA Fair Perak

RHB Bank Berhad sekali lagi dinamakan sebagai Rakan Bank Rasmi bagi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak pada 7 dan 8 Mac depan.
Penganjuran edisi ke-36 itu bakal diadakan di Dewan Pameran, Pusat Konvensyen Ipoh dari jam 10 pagi hingga 9 malam dan kemasukan adalah percuma.
Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, kerjasama berterusan itu mencerminkan sokongan padu RHB Bank dalam mempertingkat pengalaman pelancongan rakyat Malaysia melalui penyelesaian kewangan mudah dan inovatif.
“Pelancongan membuka ruang kepada perspektif baharu, budaya berbeza dan pengalaman bermakna. Ia merupakan minat yang dikongsi ramai rakyat Malaysia.
“Kerjasama kami dengan RHB Bank membolehkan pengunjung menikmati fleksibiliti dan kemudahan kewangan yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Menurutnya, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai promosi eksklusif serta perkhidmatan perbankan yang disesuai sepanjang pameran berlangsung.
Edisi kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila kesemua 131 gerai habis ditempah dengan penyertaan lebih 30 pengendali pelancongan berlesen, agensi pelancongan serta pemain industri, sekali gus merekodkan penglibatan tertinggi dalam sejarah penganjurannya di Perak.
Majlis perasmian MATTA Fair Perak dijadual berlangsung pada Sabtu, 7 Mac jam 6 petang dan akan disempurnakan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Ringkasan AI
- RHB Bank Berhad dinamakan sebagai Rakan Bank Rasmi bagi Pameran MATTA Fair Perak pada 7 dan 8 Mac
- Pameran ke-36 akan diadakan di Dewan Pameran, Pusat Konvensyen Ipoh dari jam 10 pagi hingga 9 malam dengan kemasukan percuma
- Kerjasama ini mencerminkan sokongan RHB Bank dalam mempertingkat pengalaman pelancongan melalui penyelesaian kewangan
- Pengunjung berpeluang menikmati promosi eksklusif dan perkhidmatan perbankan sepanjang pameran
- Edisi kali ini mencatat penglibatan tertinggi dengan semua 131 gerai ditempah dan lebih 30 pengendali pelancongan berpartisipasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

