Kerugian 12 subsidiari tidak jejas kedudukan keseluruhan KWSP

KERUGIAN melibatkan 12 subsidiari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak bermakna dana persaraan itu mengalami kerugian secara keseluruhan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Nur’Asyiqin Ramdhan berkata, kerugian yang dilaporkan lebih menjurus kepada faktor perakaunan, fasa awal pelaburan serta keadaan ekonomi semasa.
Menurut beliau, secara atas kertas ia kelihatan seperti kerugian namun pelaburan keseluruhan masih menjana pulangan kepada KWSP melalui faedah dan dividen.
“Berikutnya, sesebuah projek pelaburan lazimnya tidak menunjukkan hasil yang lumayan pada peringkat awal kerana ia memerlukan masa untuk matang.
“Selain itu, turun naik prestasi sesebuah entiti perniagaan adalah perkara normal dan dengan pelarasan yang tepat, ia mampu kembali menyumbang kepada kestabilan kewangan,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Beliau menjelaskan, kesan kerugian yang dinyatakan dalam laporan audit tersebut adalah terhad dan tidak memberi impak material kepada pencarum.
Walaupun 12 subsidiari dilaporkan mencatatkan kerugian, KWSP tidak bergantung kepada hanya beberapa syarikat semata-mata untuk menjana pulangan.
“Dividen dibayar berdasarkan prestasi keseluruhan dana dan portfolio pelaburan KWSP sangat luas dan pelbagai antaranya merangkumi saham, bon, simpanan tetap, hartanah serta pelaburan luar negara,” jelasnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dalam penggulungan perbahasan laporan itu di Dewan Rakyat berkata, KWSP meletakkan kerugian berkenaan kepada lima kategori utama berdasarkan faktor asas perniagaan dan pelaburan.
Kategori pertama berkaitan struktur modal, kategori kedua, membabitkan syarikat pada fasa awal pelaburan yang lazim dirujuk sebagai keluk J (J-curve), kategori ketiga membabitkan pelarasan nilai saksama belum direalisasi, kategori keempat pula berkaitan struktur perniagaan dan kategori kelima meliputi kerugian operasi, yang berlaku apabila pendapatan semasa tidak mencukupi untuk menampung kos komersial.
Dalam pada itu, menurut Nur’Asyiqin, dalam teori pelaburan, risiko yang lebih tinggi lazimnya datang bersama potensi pulangan yang lebih besar namun ia dilaksanakan dalam rangka pengurusan risiko yang sistematik dan bukan bergantung kepada spekulasi atau nasib semata-mata.
Katanya, sebahagian kerugian yang dilaporkan bersifat kerugian perakaunan melibatkan projek jangka panjang yang belum mencapai tempoh matang dan tidak semestinya membabitkan kerugian tunai yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan KWSP secara langsung.
“Selagi prestasi keseluruhan pelaburan KWSP kekal kukuh serta menjana pendapatan yang baik, keupayaan dana itu untuk mengumumkan dividen yang kompetitif kepada pencarum masih terpelihara,” katanya.
Mengulas mengenai keupayaan kepelbagaian portfolio KWSP menyerap risiko ketika sebahagian subsidiari berdepan cabaran operasi, Nur’Asyiqin menjelaskan bahawa cabaran operasi boleh merangkumi kos operasi yang tinggi, turun naik permintaan dan bekalan, aliran tunai yang ketat serta ketidaktentuan ekonomi.
“Halangan ini sememangnya boleh memberi kesan kepada keuntungan syarikat namun kekuatan dana pencen itu terletak pada kepelbagaian portfolionya. Kerugian sebahagian kecil subsidiari mampu diserap oleh pelaburan lain yang lebih menguntungkan,” ujarnya.
Menurut beliau, 12 subsidiari yang mencatat kerugian itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan saiz dana KWSP yang besar.
“Impak memang wujud, tetapi masih terkawal dan tidak terlalu signifikan terhadap keseluruhan dana. Selagi strategi pelaburan menyeluruh kekal kukuh dan pengurusan risiko dilaksanakan dengan baik, dividen masih berpotensi kekal pada kadar kompetitif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memahami kebimbangan pencarum susulan laporan tersebut namun menegaskan tiada keperluan untuk panik secara berlebihan.
“Dalam dunia pelaburan, turun naik adalah perkara biasa. Setakat ini, kerugian yang dilaporkan masih berada dalam tahap risiko terkawal dan tidak menjejaskan keupayaan KWSP menyediakan simpanan persaraan yang selamat,” jelasnya.
Ringkasan AI
- KERUGIAN 12 subsidiari KWSP lebih kepada faktor perakaunan dan keadaan ekonomi semasa
- Pelaburan KWSP masih menjana pulangan walaupun subsidiari rugi
- Kerugian tidak memberi impak material kepada pencarum KWSP
- Portfolio pelaburan KWSP yang luas dan pelbagai dapat menyerap risiko
- Strategi pelaburan dan pengurusan risiko yang baik memastikan dividen KWSP kekal kompetitif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
