Jangan abaikan perkhidmatan feri, kata Kon Yeow

Operasi Rapid Ferry yang mengalami kerosakan enjin dijangka selama tiga hari bermula hari ini. Gambar kecil: Chow Kon Yeow
Operasi Rapid Ferry yang mengalami kerosakan enjin dijangka selama tiga hari bermula hari ini. Gambar kecil: Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan diminta tidak mengabaikan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dan menjadikannya seperti 'anak buangan' apabila tidak mengendahkan pengurusannya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkhidmatan feri merupakan salah pengangkutan penting kepada rakyat dengan menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai dan perlu dijaga sebaiknya.

"Kerajaan tidak seharusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai ‘anak buangan’ yang mana seakan-akan dicampak pengurusannya kepada beberapa agensi berlainan (sebelum ini)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sepatutnya membekalkan peruntukan secukupnya bagi memantapkan perkhidmatan pengangkutan air itu yang kini di bawah pengurusan Rapid Feri Sdn Bhd.

"Ia demi kepentingan penduduk serta transformasi menyeluruh mod pengangkutan di bahagian pulau dan kawasan Butterworth (Seberang Perai Utara) Pulau Pinang khasnya.

"Saya amat kesal apabila perkhidmatan Rapid Feri Pulau Pinang tergendala selama tiga hari bermula hari ini kerana masalah teknikal membabitkan empat buah feri yang beroperasi dari Pangkalan Raja Tun Uda ke Pangkalan Sultan Abdul Halim untuk perjalanan pergi dan balik," katanya.

Kon Yeow berkata, perkara itu boleh dielakkan jika pendekatan serta inisiatif khas diambil oleh pihak berkepentingan demi masa depan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

"Ia juga untuk impak ekonomi secara menyeluruh,malah apa yang kini diusahakan kerajaan Pulau Pinang menerusi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) adalah sebagai alternatif sekiranya insiden ini berulang kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Rapid Ferry mengumumkan perkhidmatan Rapid Feri Pulau Pinang tergendala selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Ogos kerana masalah teknikal pada enjin feri.

Ketuanya, Osman Amir berkata, penangguhan berlaku membabitkan empat buah feri yang beroperasi dari Pangkalan Raja Tun Uda ke Pangkalan Sultan Abdul Halim bagi perjalanan pergi dan balik.