Laporan Ketua Audit Negara 2019 lapor ketidakpatuhan lebih cepat

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid membentangkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri Satu di Jabatan Audit Negara hari ini. -Foto Bernama
Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid membentangkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri Satu di Jabatan Audit Negara hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 dilakukan dengan lebih ringkas dan cepat berbanding tahun sebelumnya, yang membolehkan isu ketidakpatuhan dan kerugian entiti yang diaudit dikesan segera, kata Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

“Apabila dilaporkan secara cepat, ini membolehkan bayaran yang tidak sepatutnya dihentikan, kerana kontrak masih berjalan, berbanding jika sesuatu kontrak telah tamat kita terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah dan akan mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikannya,” katanya.

Nik Azman berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini sempena pembentangan LKAN 2019 Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan dan LKAN 2019 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Bagi LKAN 2019 itu, pengauditan pematuhan dilaksanakan terhadap tiga kementerian dan tujuh jabatan, manakala bagi LKAN 2019 Siri 1 itu, sembilan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan dilaksanakan.

Nik Azman berkata, sebanyak 23 syor dikemukakan terhadap pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan, manakala 50 syor terhadap pengurusan syarikat Persekutuan untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Susulan daripada penemuan laporan audit itu Nik Azman berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) akan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas, untuk menyemak kementerian dan jabatan jika didapati berlaku penyelewengan, salah guna kuasa, ataupun rasuah.

Beliau berkata, semakan secara dalaman itu perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala unsur penipuan atau rasuah akan diserahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk siasatan lanjut.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara akan dipanggil, jika berlaku pelanggaran peraturan untuk mengenal pasti isu dan langkah pembetulan.

Artikel Berkaitan:

Memberikan contoh penemuan audit pematuhan berhubung perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua atau Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia, beliau berkata, denda lewat masih boleh dikutip, iaitu sejumlah RM116.54 juta yang tidak dikenakan terhadap syarikat, atas kelewatan penyerahan kapal LCS 1 selama 245 hari, dari tarikh serahan sepatutnya pada April 2019.

Berhubung isu Jabatan Penjara seperti perkhidmatan dan pembekalan tidak mengikut kontrak, dan pemilihan pembekal dan kontraktor tidak memenuhi syarat kelayakan, beliau berkata, ia boleh disiasat lanjut oleh pihak berkuasa bagi mengetahui sama ada terdapat unsur rasuah atau penyelewengan.

Pada sidang akhbar tersebut, Nik Azman turut menyentuh mengenai pengauditan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang didapati telah membuat bayaran tetap penyelenggaraan bulanan bagi dua helikopter yang tidak aktif melebihi tiga tahun, berjumlah RM3.47 juta.

Selain itu, katanya ketirisan turut dikesan apabila PDRM terlebih bayar RM105,875, bagi bayaran tetap penyelenggaraan bulanan helikopter.

“Ini kerana bayaran pada kadar RM38,5000 sebulan untuk tempoh 19 bulan, walaupun helikopter tidak aktif melebihi enam bulan,” katanya.

Menurutnya, pengurangan 25 peratus sepatutnya dikenakan, untuk menyelenggarakan helikopter tidak aktif dengan kadar bayaran RM28,875 sebulan, seperti diperuntukkan di dalam kontrak.

“PDRM perlu memastikan pegawai penyedia, penyemak dan pengesah, membuat semakan dengan teliti mengikut syarat kontrak sebelum bayaran dibuat, bagi mengelakkan pembayaran tidak wajar,” katanya.

Nik Azman turut menyentuh mengenai laporan audit pengurusan syarikat kerajaan yang mendapati, Talent Corp Malaysia Bhd (TalentCorp) tidak mencapai objektif penubuhan syarikat, dan tadbir urus korporat yang kurang memuaskan.

Katanya, laporan audit menemui TalentCorp beroperasi tanpa Ketua Pengawai Eksekutif sejak Jun 2018, prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan tidak dibentangkan untuk kelulusan Lembaga Pengarah, dan tiada Jawatankuasa Audit sejak penubuhan pada 2011 sehingga kini.

Selain TalentCorp, berlaku pertukaran ketua pegawai eksekutif di agensi lain dan kekosongan itu tidak diisi, susulan perubahan dalam kerajaan pada 2018.

“Itu salah satu perkara menyebabkan berlakunya kekosongan dan kelewatan, untuk meletakkan pelbagai agensi di bawah kementerian mana. Asalnya TalentCorp di bawah Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Dalam kes TalentCorp, terdapat unsur tidak teratur, kerana,Malaysia Expatriate Services Centre, (MYXpats) yang sepatutnya menjadi anak syarikat TalentCorp, tetapi nama Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif yang sama, mengendalikan kedua-dua entiti itu.- Bernama