Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini selepas indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan memberikan anggaran data yang lebih lemah untuk ekonomi maju, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6410/6455 berbanding dolar AS daripada 4.6575/6610 pada penutup Rabu.

Data terbaharu PMI pembuatan Amerika Syarikat (AS), Eropah dan United Kingdom (UK) kekal di bawah garisan 50 mata, masing-masing pada 47.0, 43.7 dan 42.7 mata.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perniagaan perlu berdepan dengan peningkatan kos peminjaman dan tekanan gaji, terutamanya dalam ekonomi maju.

"Indeks dolar AS (DXY) turun 0.14 peratus kepada 103.419 mata dengan mata wang utama seperti euro, pound dan yen mengukuh berbanding dolar AS.

"Justeru, kami menjangkakan USD/MYR bergerak dalam julat yang ketat antara RM4.65 dan RM4.66 hari ini kerana peserta pasaran begitu berhati-hati dengan tinjauan kadar AS menjelang Simposium Jackson Hole minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell semasa simposium pada hari Jumaat dijangka memberikan petunjuk tentang keputusan dasar monetari masa depan, kata Mohd Afzanizam.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2051/2084 daripada 3.2026/2052 pada penutupan dagangan semalam, lemah berbanding euro kepada 5.0443/0492 daripada 5.0348/0385 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.9029/9086 daripada 5.8880/8924 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4322/4358 daripada 3.4309/4340 dan turun berbanding baht Thai menjadi 13.3171/3361 daripada 13.2813/2970 pada penutupan urus niaga Rabu.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 303.3/303.8 daripada 304.4/304.8 semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.21/8.22 hari sebelumnya. - Bernama