Kes Mohd Khairuddin sepatutnya tidak lagi jadi isu: Pas

Tuan Ibrahim ketika ditemui media sempena Penyampaian Sumbangan Khas dan Kit Covid-19 kepada PIBG dan juga Kelab Guru Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Kubang Kerian.
Tuan Ibrahim ketika ditemui media sempena Penyampaian Sumbangan Khas dan Kit Covid-19 kepada PIBG dan juga Kelab Guru Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Kubang Kerian.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas beranggapan kes melibatkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikenakan kompaun gara-gara tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah tidak sepatutnya dijadikan isu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sudah pun dikenakan kompaun maksimum malah mendermakan gajinya kepada Tabung Bencana Negara (Tabung koronavirus (Covid-19).

“Tiada isu apa dah, beliau sudah bayar kompaun maksimum RM1,000. Beliau bukan ada kluster kes dan sudah menjalani ujian swab yang keputusannya negatif.

"Jadi, tiada isu lagi. Sepatutnya lebih baik kita tumpu kepada kes-kes yang ada kluster,” katanya kepada pemberita sempena Penyampaian Sumbangan Khas dan Kit Covid-19 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru dan juga Kelab Guru Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Kubang Kerian, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air memuji tindakan Mohd Khairuddin yang mengakui kesilapannya dengan meminta maaf serta sanggup pula mendermakan empat bulan gajinya sebagai menteri susulan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, ketika sesi persidangan Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin wajib yang perlu dijalani oleh Mohd Khairuddin.

Isu kuarantin berkenaan dikritik banyak pihak kerana Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas ditohmah mengingkari arahan kuarantin wajib seperti diarahkan pihak berkuasa malah jumlah kompaun dikenakan terhadapnya juga menjadi bahan sindiran netizen.

Artikel Berkaitan: