'Ahmad Zahid tidak lagi relevan'- Razali

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa peranan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini tidak lagi relevan dalam parti berkenaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, ini kerana MIC sebagai salah satu parti komponennya secara terbuka melahirkan kekecewaan mereka terhadap Ahmad Zahid.

"Pengerusi BN dilihat sudah tidak berfungsi dan relevan lagi, apatah lagi di tengah-tengah kempen pilihan raya negeri (PRN), parti MIC secara terbuka melahirkan kekecewaan terhadap Ahmad Zahid.

"Lebih memalukan, kemunculan Presiden UMNO ini dilihat seolah-olah tidak diundang dalam pertemuan eksklusif Presiden MIC, (Tan Sri SA Vigneswaran) dan partinya bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Ini adalah satu petanda sangat jelas, mesej sangat terus-terang malahan kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Vigneswaran secara terbuka meminta Ahmad Zahid supaya tidak ‘menganaktirikan’ parti itu.

Vigneswaran sebelum memulakan ucapan berkata, beliau tidak menyangka Ahmad Zahid akan menyertai pertemuan MIC dengan Perdana Menteri.

Beliau dilaporkan media berkata demikian pada majlis perjumpaan MIC bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur pada Rabu.

Razali menambah, penolakan mega terhadap UMNO semakin menyerlah dan pengundi di seluruh enam negeri yang terlibat dalam PRN akan menghantar mesej jelas penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pada 12 Ogos ini.

"UMNO sudah tidak relevan, BN juga semakin lemah kerana masih ada Ahmad Zahid.

"Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka hati menerima mana-mana parti yang hendak bersama dalam memperjuangkan demi rakyat dan kaum yang diwakilinya. Tiada unsur-unsur dianaktirikan atau disepikan di dalam PN.

"Kami di dalam PN saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!