Ahli Parlimen pembangkang pertikai 'layanan dua darjat'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib sebagai 'layanan dua darjat'.

Ahli Parlimen Seputeh, Terese Kok berkata, wujud layanan istimewa umpama 'dua darjat apabila Khairuddin hanya dikenakan kompaun RM1,000, manakala rakyat biasa yang melakukan kesalahan sama dihadapkan ke mahkamah.

"Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar pada 13 Ogos lalu berkata, sesiapa yang sengaja ingkar perintah kuarantin, tidak lagi dikenakan kompaun tetapi akan terus dihadapkan ke mahkamah.

"Persoalannya kenapa semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri Kabinet ini diberi layanan istimewa dengan penjelasan kompaun RM1,000 yang mengundur tarikh.

"Sekali lagi, rakyat lihat layanan dua darjat berlaku dalam pelaksanaan perintah kawalan koronavirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini bahawa kompaun itu dikenakan terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, wakil rakyat DAP itu berkata, ramai rakyat Malaysia terkejut dengan kenyataan KKM bahawa kompaun RM1,000 telah pun dikeluarkan kepada Khairuddin pada 7 Ogos lalu dan menteri itu telah pun menjelaskan kompaun berkenaan.

"Saya bangkitkan isu berkenaan Datuk Khairuddin tidak mematuhi perintah kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selama ini Ketua Pengarah Kesihatan hanya berkata kementeriannya sedang menyiasat pelanggaran perintah kuarantin oleh menteri tersebut.

"Kenapakah hari ini baharu KKM memberitahu orang ramai bahawa kompaun dikeluarkan kepada Khairuddin dan beliau menjelaskan denda tersebut?" katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji menteri

Menteri dikompaun RM1,000 langgar kuarantin

Kes kuarantin: Menteri pun tak akan terlepas tindakan undang-undang

Teresa dakwa menteri pulang dari Turki tidak jalani kuarantin

Teresa turut mendakwa, kenyataan KKM dan kompaun RM1,000 dikenakan terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu menunjukkan ia dibuat atas arahan ataupun paksaan daripada pihak atasan.

"Memang tidak mungkin Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan tidak tahu bahawa kompaun dikeluarkan pada 7 Ogos lalu dan Datuk Khairuddin bayar denda itu. Kenapa kena tunggu empat hari kemudian baru buat pengumuman?

"Begitu juga dengan Datuk Khairuddin sendiri, sekiranya beliau telah bayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu, beliau seharusnya memberitahu kepada media selepas isu ini dilaporkan oleh media.

"Tetapi beliau tidak berbuat demikian sehingga hari ini baru pohon maaf dan secara sukarela mahu potong gajinya sendiri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mempersoalkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Khairuddin.

"Pencetus kluster Sivagangga dipenjara lima bulan dan didenda RM12,000 kerana tidak mematuhi tempoh kuarantin wajib di rumah.

"Mak Cik Gelang Pink didenda RM8,000 dan dipenjara sehari. Kenapa 'standard' yang berbeza?," soalnya menerusi Twitter hari ini.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula menyindir jumlah amaun kompaun yang dikenakan terhadap Khairuddin berikutan pengaruhnya Kabinet.

"Kod diskaun yang cukup besar sekali #AkuMenteri," katanya di Twiter.

ARTIKEL BERKAITAN: Kompaun RM1,000 seperti hukuman antara dua darjat