Surat sokongan tular: Tak berlaku salah guna kuasa, kata Ismail

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera (tengah) beramah mesra bersama Veteran ATM ketika hadir di majlis bersama Veteran Angkatan Tentera sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Felda Gunung Besout 2 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera (tengah) beramah mesra bersama Veteran ATM ketika hadir di majlis bersama Veteran Angkatan Tentera sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Felda Gunung Besout 2 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan berlaku salah guna kuasa oleh timbalannya dalam isu mendapatkan sokongan bagi melantik anaknya sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

Menurutnya, tindakan Ikmal Hisham Abdul Aziz mendapatkan surat sokongan daripada beliau adalah satu tindakan biasa yang selalu dilakukan pelbagai pihak.

Menurutnya, sebagai timbalan menteri, Ikmal Hisham boleh sahaja secara terus menghantar permohonan anaknya itu kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tanpa melibatkan beliau.

"Kalau dia nak salah guna kuasa, dia sendiri pun boleh direct, tak perlu melalui saya, tetapi dia tak gunakan kuasa dia untuk itu.

Gambar surat sokongan yang tular di laman sosial sejak semalam.
Gambar surat sokongan yang tular di laman sosial sejak semalam.

"Sokongan bukanlah bermakna perkara itu dipenuhi. Macam dalam kes ini, saya hanya beri sokongan dan bukan ada kuasa lantikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama warga veteran ATM Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Orang Ramai Felda Besout 2 di sini hari ini.

Semalam, tular salinan surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

Surat berkenaan ditujukan kepada Menteri Pertahanan bertarikh 5 Jun 2020, mengandungi tulisan tangan Ismail yang diminitkan kepada Pengerusi LTAT dengan mengatakan beliau bersetuju cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau dimaklumkan, pihak Pharmaniaga tidak pun memasukkan nama anak timbalan menterinya dalam lantikan ahli lembaga pengarah.

"Jadi perkara ini berhenti setakat ini sahaja, tiada isu nepotisme kerana dia tak dapat (ahli lembaga pengarah) dan kalau dia dapat pun itu adalah atas sokongan ahli lembaga pengarah," katanya.

Menurut laporan media tempatan, syarikat farmasi itu mempunyai beberapa kekosongan jawatan dalam lembaga pengarahnya berikutan persaraan tiga ahlinya baru-baru ini.

Syarikat itu kemudiannya telah melantik tiga anggota baharu seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 3 Ogos.

Mereka adalah Azhar Ahmad, Najmil Faiz Mohamed Aris dan Zulkifli Jafar.