Zaiful bakal pimpin Astro AWANI sebagai Ketua Pengarang baharu?

KUALA LUMPUR - Lebih 24 jam selepas Ashwad Ismail diangkat sebagai Ketua Pengarah Penyiaran, persoalan besar masih berlegar di kalangan warga media, siapakah yang bakal meneruskan keunggulan Astro AWANI sebagai saluran berita 24 jam terkemuka negara.
Setakat petang Selasa, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Astro berhubung kekosongan jawatan Ketua Pengarang berkenaan.
Namun difahamkan, nama yang disepakati untuk meneruskan legasi kepimpinan editorial saluran berkenaan ialah Zaiful Mohd Ariffin, Pengarang Eksekutif yang kini menerajui Editorial Services & Business Development saluran berkenaan.
Zaiful bukan wajah baharu dalam dunia penyiaran Malaysia dan beliau antara anggota pasukan perintis yang menubuhkan Astro AWANI pada 2007 sebagai saluran berita dan hal ehwal semasa 24 jam pertama negara.
Sebelum itu, beliau berkhidmat di NTV7 selama enam tahun, bermula tahun 2000, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penerbit dan Penerbit.
Kerjaya Zaiful dalam industri media bermula di Bernama, di mana beliau merupakan wartawan berita am dan sukan sejak 1997, membuat liputan dalam pelbagai acara berprofil tinggi termasuk Sukan SEA, Sukan Komanwel, Piala Dunia Bawah 20 Tahun dan kejohanan badminton serta squash peringkat antarabangsa.
Di Astro AWANI, beliau berkhidmat sebagai Pengarang Input Kanan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Eksekutif, dengan tanggungjawab merangkumi pengumpulan berita, pengeluaran, perancangan sumber, pemasaran kandungan dan pengkomersialan saluran.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak Astro setakat ini.
Ringkasan AI
- Ashwad Ismail diangkat sebagai Ketua Pengarah Penyiaran lebih 24 jam yang lalu
- Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Astro mengenai kekosongan jawatan Ketua Pengarang
- Zaiful Mohd Ariffin disepakati untuk meneruskan legasi kepimpinan editorial Astro AWANI
- Zaiful merupakan anggota pasukan perintis pembentukan Astro AWANI pada 2007
- Kerjaya Zaiful bermula di Bernama sebagai wartawan berita am dan sukan sejak 1997
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
