‘Kaki skodeng’ boleh dipenjara...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Amaran buat ‘kaki skodeng’!

Mereka yang terbukti bersalah melakukan sebarang isyarat, tingkah laku atau perbuatan yang mengganggu kesantunan seseorang boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, sekiranya bahan tersebut disiarkan dan disebarkan pula, maka jenayah tersebut berkait pula dengan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Selalu pada kebiasaannya, kalau ada percubaan melakukan jenayah adalah satu kesalahan.

“Sekiranya satu perbuatan yang lazimnya diklasifikasikan sebagai tindakan yang mengaibkan seseorang, maka perbuatan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut undang-undang, mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan mengintai boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika ditanya adalah hukuman sebegitu setimpal dengan jenayah dilakukan, Kamal Affandi berkata ia terpulang kepada mangsa untuk mengambil tindakan seterusnya.

“Sekiranya mangsa merasakan bahawa mereka wajar mendapatkan pampasan sebagai pengajaran, maka mereka boleh melaksanakan tindakan sivil terhadap suspek atau penjenayah itu,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Sains Forensik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat menegaskan adalah tidak wajar menganggap jenayah mengintai adalah sesuatu yang kecil kerana ia mampu memberi kesan jangka panjang kepada mangsa.

“Mungkin sesetengah orang menyifatkan jenayah aktiviti skodeng sebagai sesuatu yang kecil dan hukuman wajar ringan namun mereka lupa kesan dan impak jangka masa panjang kepada mangsa dan keluarga mangsa.

“Hak privasi telah dicabul dan insiden akan bermain dalam pemikiran serta emosi mangsa. Terdapat kemungkinan tingkah laku mangsa bertukar secara mendadak dan develop gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).

“Malah, perhubungan sosial mungkin tergugat, dia rasa tidak selamat dan mungkin ada lagi lain-lain impak,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, individu yang melakukan aktiviti ‘skodeng’ biasanya hanya untuk memenuhi kepuasan nafsunya, mencari keseronokan untuk dirinya sahaja.

“Dia melihatkan sasaran sebagai objek seks semata-mata.” ujarnya.