Bekas Pesuruhjaya Pas dinobat Tokoh Maal Hijrah Pahang

Tokoh Maal Hijrah 2020 Pahang, Muhammad Baki (duduk dua dari kiri) bersama ahli keluarganya.
Tokoh Maal Hijrah 2020 Pahang, Muhammad Baki (duduk dua dari kiri) bersama ahli keluarganya.
A
A
A

KUANTAN - Bekas Pesuruhjaya Pas Pahang, Muhammad Baki Othman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pahang sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri hari ini.

Anugerah itu disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah di Dewan Jubli Perak di sini.

Muhammad Baki, 80, yang merupakan pendakwah pernah berkhidmat sebagai Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat dan Yang Dipertua Pas Kawasan Maran.

Selain itu, beliau turut aktif melibatkan diri dalam persatuan dan pernah menerima Anugerah Tokoh Istiqamah di Muktamar Pas Malaysia kali ke-65 pada 1992 dan penerima Anugerah Tokoh Ulama di Muktamar Dewan Ulama Pas Pahang pada 2014.

"Alhamdulillah. Saya gembira atas penghargaan daripada pihak kerajaan negeri yang menghargai usaha-usaha dakwah. Anugerah bukan hanya untuk saya tapi untuk semua pendakwah, ia bukan anugerah peribadi.

"Bagi saya apabila dipilih sebagai tokoh maka tokoh-tokoh yang melakukan dakwah ini perlu terus menepati apa yang dikehendaki.

"Maal Hijrah bukan perkara biasa. Ada wahyu yang mempunyai hikmah dan ada hikmah yang perlu dibuat huraian. Hijrah ini berkaitan dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang mana sebelum peristiwa hijrah pada Israk Mikraj ini Rasulullah pernah dipanggil ALLAH SWT ke langit untuk menjelaskan apa yang menjadi tanda tanya...yang membawa kepada berlakunya peristiwa hijrah.

"Dalam kita melaksanakan hijrah apa yang penting ialah keyakinan," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Mujibur (kiri) mengiringi bapa mentuanya, Muhammad Baki ketika diumumkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah 2020 Pahang.
Mujibur (kiri) mengiringi bapa mentuanya, Muhammad Baki ketika diumumkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah 2020 Pahang.

Muhammad Baki yang mempunyai 11 anak, 30 cucu juga merupakan bapa mentua kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak.

Pada majlis tersebut, Tengku Hassanal turut menyampaikan lima anugerah lain iaitu Anugerah Pengkhidmat Agama kepada Pegawai Psikologi dan Kaunseling, Sharifuddin Isa Usman; Anugerah Inovasi Kakitangan kepada Ahmad Irfan Ikmal Hisham; Anugerah Inovasi Jabatan yang diberikan kepada Markas Wilayah Laut 1; Anugerah Mubaligh Saudara Baru kepada Muhammad Hasrui Muhammad Akhir dan Anugerah Perkampungan Orang Asli Islam Terbaik, Kampung Orang Asli Panderas, Kuala Krau.

Sambutan Maal Hijrah yang diraikan serentak di seluruh negara hari ini bertemakan Umat Rabbani Negara Harmoni.