Dewan Pemuda Pas Pahang gesa segerakan RUU GEG

Zarimi(kiri) bersama Mohamad Nik(dua dari kiri) pada pertemuan tersebut.
Zarimi(kiri) bersama Mohamad Nik(dua dari kiri) pada pertemuan tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Dewan Pemuda Pas Pahang menggesa kerajaan supaya melaksanakan segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG).

Ketua Pemuda Pas Pahang, Zarimi Shubrawi berkata sedemikian susulan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Bera berkemungkinan keracunan nikotin akut dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang pada 30 Mei lalu.

Menurutnya, Kerajaan Madani dilihat agak tergesa-gesa mengeluarkan nikotin dari akta racun negara pada bulan lepas.

"Remaja dan kanak-kanak terdedah kepada ancaman vape ini secara lebih meluas akibat keputusan yang tidak masuk akal tersebut.

"Jadi kita menggesa kerajaan supaya melaksanakan segera RUU Akta Generasi Penamat Rokok (GEG) untuk mengelakkan lebih banyak kes terjadi selepas ini," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau lagi, sebagai maklumat tambahan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 22 Disember 2015 telah memutuskan bahawa Rokok Elektronik / Vape adalah haram.

"Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Pahang telah memutuskan penggunaan vape haram digunakan kepada semua umat Islam di negeri Pahang," tambah Zarimi.

Pertemuan Harian Dewan Pemuda Pas Pahang yang diketuai Zarimi (kanan) bersama Mohamad Nik (dua dari kanan) pada Khamis.
Pertemuan Harian Dewan Pemuda Pas Pahang yang diketuai Zarimi (kanan) bersama Mohamad Nik (dua dari kanan) pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu Harian Dewan Pemuda Pas Pahang telah mengatur pertemuan dengan Profesor Dr Mohamad Nik Mohamed Haniki di sini pada Khamis untuk mendapat input yang lebih jelas tentang ancaman vape kepada masyarakat.

"Beliau (Mohamad Nik) dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai ahli jawatankuasa bagi kumpulan kerja teknikal shisha dan e-rokok, panel pakar mengenai e-rokok, pakar Penilaian Teknologi Kesihatan (berhenti merokok).

"Menerusi pertemuan tersebut, banyak input yang diperoleh dan kita berharap kerajaan dapat bertindak segera dalam menangani isu vape di negara ini," ujar beliau.