Pas Pahang sifatkan dakwaan Wan Rosdy berniat jahat

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyifatkan tuduhan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mendakwa Pas menikam belakang sehingga menyebabkan Muafakat Nasional (MN) terkubur sebagai berniat jahat.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Tarmizi Yahya berkata, dakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menyalahgunakan peruntukan disalurkan ketika MN masih wujud di Pahang dengan membelanjakan peruntukan itu untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor juga ditafsirkan tidak tepat.

Beliau sebaliknya menegaskan dakwaan Wan Rosdy dilihat untuk mencari populariti selepas imejnya sebagai Pengerusi UMNO Pahang tercalar teruk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Ucapan (tuduhan) MB Pahang (Wan Rosdy) adalah tuduhan berniat jahat. Bagi saya, Wan Rosdy sedang menunjukkan dia seolah-olah masih lagi relevan, sedangkan prestasi UMNO Pahang diketuainya sangat teruk hingga kehilangan 17 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang lalu.

"Dia sudah menjadi MB (menteri besar), jadi (dilantik sebagai) Naib Presiden UMNO, tapi dia perlu lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan dan berpolitik secara sihat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum itu, satu video berkaitan tuduhan Wan Rosdy itu mula dikongsi ADUN Pas Jengka, Sharil Azman Abd Halim melalui akaun TikTok miliknya malam, Rabu.

Shahril Azman turut menyelitkan sekali rakaman ucapan Wan Rosdy sambil memberikan ulasan berkaitan dakwaan dibuat Menteri Besar Pahang itu.

Dia bagaimanapun turut memaklumkan klip video sesi 'townhall' itu sudah dipadamkan daripada akaun media sosial yang mempunyai kaitan dengan UMNO.

Selain mendakwa Pas Pahang menikam belakang dan ADUN Pas menyalahgunakan peruntukan untuk PRN Johor dan Melaka.

Wan Rosdy turut mendakwa kononnya ada ADUN Pas di Pahang menyalahgunakan pengagihan bakul makanan ketika pandemik Covid-19 dan bantuan prihatin Pahang.

Dakwanya, ada ADUN Pas yang menukar pelekat pada kotak bakul makanan yang memaparkan gambar menteri besar dengan gambar ADUN Pas kawasan.

Mohd Tarmizi yang juga ADUN Panching bagaimanapun menafikan dakwaan yang diperkatakan Wan Rosdy.

Jelas beliau, ADUN Pas hanya menampal pelekat bersebelahan gambar Wan Rosdy pada bakul makanan yang diberikan kepada rakyat.

"Ketika itu kita masih MN, jadi ada ADUN kita (Pas) tampal pelekat bersebelahan gambar MB, bukan kita tampal (pelekat) atas muka MB.

"Tujuannya untuk penerima tahu sumbangan itu daripada kerajaan Pahang melalui pejabat ADUN, untuk menunjukkan kebersamaan kita sebagai MN," ujarnya.

Ditanya mengenai dakwaan ADUN Pas menggunakan peruntukan diterima ketika MN masih wujud di Pahang untuk PRN Johor dan Melaka, Tarmizi berkata peruntukan diberikan kepada ADUN Pas ketika itu bukanlah dalam bentuk wang tunai, sebaliknya ia perlu melalui tuntutan semula dikemukakan kepada pejabat kewangan negeri.

"Dia cakap kita terima RM20,000 sebulan, tapi sebenarnya ia bukan dalam bentuk wang tunai. Kami kena guna duit sendiri terlebih dahulu dan kemudiannya perlu mengemukakan tuntutan kepada pejabat kewangan negeri Pahang.

"Ada tuntutan diluluskan dan ada yang tidak, semua (tuntutan) kena sertakan resit. Jadi bagaimana dia boleh kata kami guna untuk Johor dan Melaka kerana kalau tuntutan (berkaitan PRN Johor atau Melaka), sudah tentu ia tidak akan diluluskan pejabat kewangan negeri," jelasnya.