Sanjung Kit Siang, Nik Aziz sebagai tokoh politik - Steven

Steven
Steven
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Kewangan, Stevan Sim Chee Keong mengucapkan tahniah kepada bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM).

Ujar Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, kedua-dua tokoh politik itu merupakan individu yang beliau sanjungi.

“Tahniah Tan Sri ‘Lao Da’. Suara nurani rakyat Malaysia.

“Tahniah juga kepada keluarga Almarhum Tan Sri Tok Guru Nik Aziz. Jasamu sentiasa dikenang,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook, pada Isnin.

Media tempatan melaporkan, Nik Abdul Aziz dan Kit Siang merupakan antara 25 orang individu yang dikurniakan darjah kebesaran PSM sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pada masa sama, Steven turut memaklumkan bahawa beliau juga pernah menulis puisi untuk kedua-dua tokoh politik berkenaan.

Puisi yang ditulis untuk bekas Mursyidul Am Pas dibuat pada 12 Februari 2015, manakala Kit Siang pula dinurkilankan pada 29 Mac 2018.