Kegiatan kuari ancam Hutan Simpan Segari Melintang

Ekosistem hutan dimusnahkan sebelum kegiatan kuari beroperasi di HS Segari Melintang, Manjung. Foto: Sahabat Alam Malaysia
Ekosistem hutan dimusnahkan sebelum kegiatan kuari beroperasi di HS Segari Melintang, Manjung. Foto: Sahabat Alam Malaysia
A
A
A
IPOH - Kegiatan kuari termasuk pengambilan tanah merah dalam kawasan tanah yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Hutan Simpan Segari Melintang di daerah Manjung membimbangkan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan itu pernah disuarakan oleh mereka pada tahun 2017 lagi apabila Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 13, 14, 15 dan 16, Hutan Simpan Segari Melintang.

Menurutnya, kegiatan kuari tersebut dibimbangi akan memberi impak kepada ekosistem hutan dan kawasan semula jadi pesisiran pantai.

"Kelulusan kegiatan kuari dalam HSK bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 (MTN) pada tahun 2014 iaitu semua negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK.

"Kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Sementara itu, SAM mendedahkan terdapat permohonan baharu kepada pihak berkuasa negeri untuk dilaksana kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21 seluas kira-kira 122 hektar serta kegiatan pengambilan tanah merah di sebahagian Kompartmen 54 seluas kira-kira 49 hektar.

Jelas SAM, apabila sesuatu kawasan HSK diluluskan untuk dilaksana kegiatan kuari, segala dirian pokok bernilai akan diusahasil secara tebang habis dan litupan hutannya akan dimusnahkan terlebih dahulu.

Bagi tujuan itu, SAM mengemukakan saranan dan cadangan kepada pihak berkuasa negeri berhubung pemuliharaan kawasan hutan simpan tersebut.

Antara cadangan tersebut termasuklah menyegerakan cadangan pewartaan Taman Negeri Segari Melintang yang pada dasarnya telah dipersetujui pihak berkuasa negeri.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, kerajaan Perak perlu mengemukakan permohonan pampasan kepada kerajaan persekutuan kerana mereka akan kekurangan hasil disebabkan kegiatan pengeksploitasian dan pembalakan secara tidak mampan di kawasan HSK tertentu tidak dibenarkan.

Oleh itu, pihak SAM berharap pihak berkuasa negeri akan mempertingkatkan komitmen menguruskan sumber hutan secara lestari dan mampan.