Kedah cadang PKPD Pentadbiran hanya di kawasan penularan Covid-19

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

SIK - Kerajaan Kedah tidak bercadang mengesyorkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di seluruh negeri ini sebaliknya hanya dilakukan di kawasan penularan koronavirus (Covid-19) sahaja.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan itu akan dikemukakan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid-19 di Wisma Darul Aman pada malam ini yang membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan beberapa agensi lain.

"Saya akan minta Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Fikri Ujang untuk memberi penerangan situasi Covid-19 di Kedah malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Virus mutasi D614G dikesan dalam negara

Sekolah di Perlis, Kedah ditutup sekurang-kurangnya 14 hari

Covid-19: Kluster Tawar pula di Kedah

Kluster Sala dikesan di daerah Yan

"Selain itu, kita akan kemukakan beberapa cadangan termasuk PKPD Pentadbiran dilaksanakan di kawasan daerah terlibat mengikut jumlah kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Zakat Bank Rakyat berjumlah RM97,000 kepada 11 asnaf di Daerah Sik di Hotel Sik Inn di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.

Rosman (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Muhammad Sanusi (dua dari kiri) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Bank Rakyat di daerah Sik di Sik Inn hari ini.
Rosman (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Muhammad Sanusi (dua dari kiri) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Bank Rakyat di daerah Sik di Sik Inn hari ini.

Menurutnya, setakat ini, Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah sudah melaksanakan PKPD Pentadbiran.

"Kita tiada kuasa melaksanakan PKPD Pentadbiran di tempat lain kerana keputusan mengenainya hanya boleh dibuat oleh MKN dan diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Jika PKPD Pentadbiran dilaksanakan di seluruh negeri, ia boleh menjejaskan ekonomi negeri dan negara malah kerajaan boleh kerugian berbilion ringgit," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menasihati penduduk di kawasan kluster agar menangguhkan majlis kenduri, keramaian dan sebarang perhimpunan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Rakyat turut diingatkan agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik kepada masyarakat.

"Saya faham rakyat dalam keadaan bimbang sekarang, saya minta semua orang patuhi prosedur operasi standard(SOP) yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata, bantuan makanan juga mencukupi dan kerajaan negeri sudah bersedia sekiranya PKPD Pentadbiran dilaksanakan di kawasan lain yang mempunyai kluster.

"Bagaimanapun arahan mengenai penutupan sekolah hanya akan diputuskan oleh MKN, harap rakyat dapat bersabar dan menunggu pengumuman daripada MKN," katanya.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala yang membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.