Covid-19: Kluster Tawar pula di Kedah

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sembilan sekeluarga yang dilaporkan positif koronavirus (Covid-19) di Kedah mencetuskan kepada kewujudan kluster baharu iaitu Kluster Tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster ini (kes ke-9113) merupakan seorang peniaga.

"Lelaki berusia 53 tahun itu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai lalu," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, pada 8 Ogos, lelaki itu mula mengalami sakit dada dan demam telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan.

"Saringan Covid-19 dilakukan dan disahkan positif pada 11 Ogos," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

"Sehingga hari ini, seramai 86 individu yang merupakan kontak rapatnya telah disaring," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu sembilan kes dikesan positif melibatkan ahli keluarga kes indeks.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 21 individu disahkan negatif manakala 56 masih menunggu keputusan. Kementerian Kesihatan (KKM) masih menyiasat punca jangkitan masih di dalam siasatan.

"Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses nyahcemar dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti," katanya.

Katanya, selain sembilan kes tersebut, KKM turut merekodkan dua kes lagi dalam penularan tempatan.

"Satu kes melibatkan warga asing iaitu saringan bertolak ke luar negara dan seorang rakyat tempatan yang dikesan dalam saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan," katanya.

"Empat kes import dikesan positif Covid-19 yang terdiri daripada rakyat tempatan. Tiga kes mendapat jangkitan dari Indonesia dan satu di Yaman," katanya.

Justeru jumlah kes positif Covid-19 yang dilaporkan kepada KKM hari ini adalah 15 kes.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 9,129 kes dengan 183 pesakit sedang dirawat di hospital.

"Sehingga kini dua kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala empat kes dilaporkan telah pulih dan dibenar discaj.

"Jumlah kes yang pulih adalah 8.821 kes bersamaan 96.6 peratus, namun tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dan jumlah kes kematian kekal 125 kes," katanya.

Dalam pada itu, ujian RT-PCR yang dijalankan terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di Lembah Pantai disahkan negatif.

"KKM melakukan dua ujian dalam tempoh 24 jam dan kesemua kontak rapat yang disaring iaitu 54 individu juga negatif," katanya.