Perhutanan Sabah lapor polis video tular

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN – Jabatan Perhutanan Sabah membuat laporan polis terhadap pihak bertanggungjawab dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini menuduh jabatan itu membenarkan aktiviti pembalakan di Taman Hutan Hujan Sandakan di sini.

Ketua Konservator Hutan Negeri Datuk Mashor Mohd Jaini berkata jabatan itu kesal dengan pihak tertentu yang membuat tuduhan menerusi video itu, yang disifatkannya berniat jahat.

"Video itu bukan sahaja tidak betul, tetapi juga ada unsur-unsur kejahatan yang ingin menjejaskan nama baik Jabatan Perhutanan Sabah dan kerajaan negeri.

"Jabatan Perhutanan Sabah terbuka untuk menerima komen dan teguran, tetapi biarlah sesuatu komen itu dibuat secara bertanggungjawab dan disalurkan melalui saluran yang betul,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu, di sini hari ini.

Menurut Mashor, laporan polis dibuat pada Jumaat lepas dan difahamkan polis telah memulakan siasatan mengenai penyebaran video itu.

Beliau turut memberitahu pihaknya juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengesan dalang video itu.

Mashor menjelaskan lima peratus atau kira-kira lapan hektar daripada 148 hektar keluasan taman hutan itu terjejas akibat hujan ribut yang melanda taman itu pada 17 Ogos lepas.

Cuaca buruk itu telah menyebabkan 149 pokok pelbagai saiz dan spesies tumbang, di samping kemudahan seperti denai dan jambatan di taman hutan berkenaan mengalami kerosakan.

Artikel Berkaitan:

Mashor turut memaklumkan jabatan itu menjangka kerja pemulihan taman itu mengambil masa kira-kira dua bulan dan menelan kos kira-kira RM100,000.

Beliau juga berharap akan mendapat kerjasama pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Sandakan dan Polis Diraja Malaysia untuk membantu Jabatan Perhutanan memelihara dan mengawal keselamatan di taman hutan hujan itu memandangkan fi kemasukan bagi orang awam sebanyak RM2 dihapuskan sejak November lepas.- Bernama