Surat itu tidak bermakna, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PETALING JAYA - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin mengesahkan telah menerima notis tuntutan saman daripada PKR pada Selasa lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang kini merupakan ahli parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan berhubung notis tersebut.

"Surat itu tidak bermakna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 2 di sini hari ini.

Julai lepas, Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung dilaporkan berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada kesemua 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang bertindak keluar PKR dan menuntut setiap mereka membayar RM10 juta kepada parti tersebut.

Selain Zuraida, Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) yang juga bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara yang turut tersenarai akan menerima notis itu.

Ditanya mengenai status penyertaannya dan 18 lagi bekas wakil rakyat PKR yang telah menyertai Bersatu Zuraida berkata, perkara itu akan diumumkan secara rasmi pada satu majlis pada 22 Ogos ini.

"Seperti yang pernah disebut sebelum ini, kami adalah sebahagian daripada Bersatu malah di Parlimen pun kami rujuk diri kami sebagai Bersatu. Cuma dari segi keformalan sahaja belum buat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas pertubuhan parti politik baharu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Zuraida berkata, Malaysia mengamalkan demokrasi dan semua rakyat mempunyai hak menubuhkan apa-apa parti politik.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti itu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional. - Bernama