Wan Rosdy cuba menidakkan fakta: Guan Eng

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kerajaan Negeri Pahang berhutang sebanyak RM3.178 bilion dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa jumlah sebenar hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM760 juta setakat 31 Disember 2018 adalah tidak tepat.

Tegas beliau, hutang Pahang sudah mencecah RM2.801 bilion pada tahun 2014 lagi dan jumlah tersebut meningkat saban tahun sehingga 2017.

“Kenyataan beliau tidak berasas kerana berdasarkan rekod JANM, kerajaan negeri tetap berhutang sebanyak RM3,178 juta (berdasarkan laporan tahun 2018) kepada Kerajaan Persekutuan.

“Penyata Kewangan dan rekod JANM sejak 2014 membuktikan Kerajaan Pahang merupakan penghutang yang paling besar di seluruh Malaysia.

“Tahun 2018 atau 2019 bukanlah kali pertama Pahang mencatat hutang paling besar di antara semua kerajaan negeri di Malaysia. Hakikatnya, Pahang telah menjadi jaguh hutang yang terbesar sejak tahun 2014, melebihi negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng memaklumkan hutang yang tinggi dicatat Kerajaan Pahang telah diaudit dan disahkan Ketua Audit Negara sebelum ini.

“Adakah menteri besar hendak mempersoalkan Laporan Ketua Audit Negara pada 2014 sehingga laporannya yang terkini untuk tahun 2017?

Artikel Berkaitan:

“Sungguhpun sudah mempunyai paras hutang yang begitu tinggi sejak 2014, kerajaan BN yang menjadi pemerintah pada masa itu tidak pernah dipersalahkan dan tidak diminta menyelesaikan masalah hutang kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, rekod kewangan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pahang secara berterusan mengeluarkan belanja lebih daripada hasil yang diterima atau belanjawan defisit pada setiap tahun dari tahun 2014.

“Belanjawan defisit secara berturut-turut ini tidak memberikan keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk menjalankan pembangunan dengan baik.

“Datuk Wan Rosdy cuba menidakkan fakta ini dengan mengalih tanggungjawab hutang kerajaan negeri yang pada paras tertinggi dengan mempersalahkan Kerajaan Persekutuan sedangkan sejak 2014 lagi, hutang Pahang kian meningkat,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, Laporan Jabatan Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang untuk 2017 juga merumuskan bahawa kedudukan kewangan negeri berkenaan kurang stabil.

“Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara telah menyarankan agar kerajaan negeri mengambil langkah memperkukuh kedudukan kewangan termasuklah mengamalkan perbelanjaan berhemat.

“Selain itu, kerajaan negeri disyorkan berusaha meningkatkan kutipan hasil negeri supaya sumber pendapatan dapat menampung perbelanjaan mengurus dan tanggungan semasa,” ujarnya.