Pengurangan perjawatan awam bukan perkara baharu

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif kawalan saiz Perkhidmatan Awam bukanlah suatu perkara baharu.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya berkata, ia merupakan kesinambungan daripada usaha merasionalisasikan saiz perkhidmatan awam yang mula diperkenalkan sejak tahun 2008.

"Merujuk kepada Surat Edaran JPA bertajuk Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam bertarikh 26 Disember 2018, JPA ingin memaklumkan bahawa inisiatif kawalan saiz Perkhidmatan Awam dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Transformasi Perkhidmatan Awam pada 23 Oktober 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah perkara, baharu.

Ianya telah dimulakan sejak tahun 2015 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam (JKK-TPA) Bil.1 Tahun 2015," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan rasionalisasi ini juga hanya melibatkan perjawatan yang tidak diisi dan tidak digunakan bagi tempoh melebihi dua tahun.

"Kaedah bagi perlaksanaan pengurangan perjawatan ini tidak melibatkan penjawat awam sedia ada tetapi melalui pelbagai kaedah lain antaranya pengoptimuman sumber manusia, penyusunan semula perjawatan bagi mengelakkan pertindihan fungsi, serah urus fungsi, penyampaian perkhidmatan alternatif, gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa.

"Justeru, usaha ini adalah berpaksikan kepada produktiviti dan penggunaan sumber manusia secara cekap dan optimum dalam perkhidmatan awam," katanya.

Terdahulu, seramai 16,000 penjawat awam dilapor akan kehilangan pekerjaan selepas kerajaan menegaskan untuk melaksanakan keputusan itu bermula tahun ini dengan pengurangan sebanyak satu peratus.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 16,000 penjawat awam bakal dibuang kerja?