X

Kindly register in order to view this article
!

Imigresen sedia buka sempadan Malaysia-Singapura

Tunku Ismail (empat dari kiri) dan Baharuddin (dua kanan) meninjau keadaan BSI, Johor Bahru, hari ini, bagi melihat persiapan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang akan dibuka pada 17 Ogos ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor sudah membuat persiapan susulan kebenaran rentas sempadan bersyarat Malaysia-Singapura buat pertama kalinya selepas pandemik koronavirus (Covid-19) pada 17 Ogos ini.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kebenaran itu melalui skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan jumlah yang terhad.

Menurutnya, permohonan untuk RGL dan PCA pada tarikh 17, 18 dan 19 Ogos sudah penuh dan hanya 400 seminggu atau 50 atau 60 orang sehari dibenarkan untuk RGL.

"Seramai 2,000 warga tempatan dan Singapura dibenarkan PCA. Permohonan boleh dilakukan menerusi laman web dan kelulusan untuk RGA atau PCA. Mereka akan dimaklumkan menerusi emel dalam masa 24 jam sebelum memulakan perjalanan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini.

Tunku Ismail meninjau keadaan BSI, Johor Bahru, hari ini, bertujuan melihat persiapan untuk pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 17 Ogos ini.
Tunku Ismail meninjau keadaan BSI, Johor Bahru, hari ini, bertujuan melihat persiapan untuk pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 17 Ogos ini.

Terdahulu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa lebih satu jam meninjau persiapan BSI selain turut diberikan taklimat persediaan operasi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Pada 26 Julai lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sempadan menerusi dua skim tersebut namun dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat serta dipersetujui kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura.

RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.

Baharuddin berkata, Imigresen akan menempatkan anggota yang secukupnya dengan kaunter dibuka di laluan bas untuk pejalan kaki dan laluan kenderaan untuk kereta serta motosikal.

Jelas beliau, pemeriksaan suhu dan beberapa prosedur kesihatan lain akan dilakukan sebelum dibenarkan memasuki republik berkenaan.

Mengenai lawatan tersebut, beliau berkata, Tunku Ismail berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan Imigresen dan semua agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat.

Tunku Ismail katanya, mendoakan semua agensi yang terlibat dan mahukan mereka sentiasa bekerjasama dan memberikan perkhidmatan terbaik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!