Komitmen tinggi KFA atasi masalah hutang legakan Lang Merah

Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis santai yang diadakan bersama pemain Lang Merah di Mentaloon, Alor Setar semalam.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis santai yang diadakan bersama pemain Lang Merah di Mentaloon, Alor Setar semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Komitmen yang ditunjukkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di bawah kepimpinan baharu dalam menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemainnya sejak Mac lalu melegakan Lang Merah dan mereka berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, usaha yang ditunjukkan oleh Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor bersama kepimpinannya diharapkan akan membawa pasukan Kedah lebih maju pada masa hadapan.

Menurutnya, bayaran bagi bulan Julai yang dijelaskan semalam oleh persatuan dianggap oleh beliau dan anak-anak buahnya sebagai satu permulaan yang baik.

"Kita lihat pengurusan KFA yang ada sekarang ini bekerja keras menyelesaikan isu berbangkit (yang berlaku sebelum ini).

"Bagi saya, mereka dilihat menghargai pasukan apabila mengatur pertemuan santai malam ini (semalam) dan pada akhirnya apa yang kita mahukan adalah membawa pasukan ini lebih maju pada masa depan," katanya pada sidang akhbar bersama Muhammad Sanusi di Mentaloon, di sini semalam.

Baddrol Bakhtiar
Baddrol Bakhtiar

Sementara itu, bagi ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar pula, bayaran tunggakan gaji Julai yang diterima mereka itu sekurang-kurangnya mampu mengubati kekecewaan sejak beberapa bulan lalu dan berharap KFA juga akan mempertimbangkan juga bayaran tunggakan gaji bagi bulan Jun.

"Bagi tunggakan gaji untuk tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, rundingan antara kedua-dua belah pihak boleh diadakan dan pemain Kedah sentiasa terbuka untuk berunding dan membuat pertimbangan dengan KFA," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Baddrol, kenyataan Presiden KFA yang komited menyelesaikan kemelut gaji tersebut mampu menjadi pemangkin semangat Lang Merah untuk tampil dengan aksi terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim ini.