KPKM: RM400,000 bantu pesawah Kelantan atasi masalah air

Mohamad (dua dari kiri) melihat telaga tiup yang digali di Kubang Telaga, Bachok.
Mohamad (dua dari kiri) melihat telaga tiup yang digali di Kubang Telaga, Bachok.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM400,000 bagi membantu pesawah padi di Kelantan mengatasi kemelut bekalan air.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan itu melibatkan RM100,000 untuk 100 pam dan RM300,000 bagi pembinaan 100 telaga tiub.

“Ada dua cara pengambilan air iaitu daripada parit atau sungai dan kedua air daripada bumi yang korek sedalam lebih 24 meter.

“Penyediaan pam-pam air terutama ketika kemarau ini dipergiatkan supaya para petani dapat memulakan penanaman padi musim pertama tahun ini bermula awal bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pam air dan telaga tiub di Kampung Kubang Telaga dekat sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan masalah membekalkan air apabila Rumah Pam Kemubu tidak dapat mengairi beberapa kawasan sawah padi di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok keseluruhan 16,113 hektar.

Pam-pam disediakan bagi mengatasi masalah air di Kelantan.
Pam-pam disediakan bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

"Sehingga kini, KADA menyediakan tiga pam khas iaitu di kawasan bendang Aur Duri (kawasan Kota Bharu Utara), Kampung Keling (kawasan Kota Bharu Selatan) dan Sungai Kemasin (kawasan Bachok) bagi membantu mangairi sawah petani.

“KADA juga mengagihkan hampir 500 pam mudah alih kepada seluruh petani di dalam kawasan KADA kerana bimbang padi mereka akan musnah akibat kemarau,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyasarkan negara tidak lagi perlu mengimport beras dari negara lain jika pengeluaran hasil padi dalam negara melebihi 10 metrik tan bagi satu hektar semusim.

“Setakat ini, pengeluaran padi hanya sekitar lima tan sehektar dan masih bawah paras sederhana.

“KPKM kini mengikut standard pengeluaran hasil mengikut sistem di Sekinchan, Selangor yang sudah mencapai pengeluaran hasil tujuh hingga 10 tan sehektar,” katanya.