Tabika, taska di Kedah jalani proses nyahkuman

Proses nyahkuman melibatkan 123 Tabika Kemas di daerah Kubang Pasu, 10 di Padang Terap dan masing-masing satu di Alor Setar dan Kulim/Bandar Baharu.
Proses nyahkuman melibatkan 123 Tabika Kemas di daerah Kubang Pasu, 10 di Padang Terap dan masing-masing satu di Alor Setar dan Kulim/Bandar Baharu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah menjalankan proses nyahkuman di 135 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di beberapa daerah di negeri ini.

Pengarah Kemas Kedah, Noor Azman Abd Rahman berkata, proses terbabit melibatkan 123 Tabika Kemas di daerah Kubang Pasu, 10 di Padang Terap dan masing-masing satu di Alor Setar dan Kulim/Bandar Baharu.

Katanya, kerja pembersihan itu dilakukan secara berperingkat oleh guru-guru Kemas yang sudah dilatih untuk menjalankan sanitasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Proses ini adalah langkah awal pencegahan dan bukannya disebabkan terdapat murid atau guru yang positif Covid-19 atau sebagainya.

"Saya harap tidak ada mana-mana pihak yang menimbulkan perasaan panik kerana Kemas sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid dan guru kita," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, taska terbabit akan kembali beroperasi secara berperingkat setelah ditutup selama 14 hari atau sehingga mendapat kebenaran oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Pada 29 Julai lalu, media melaporkan sebanyak 73 tabika dan tiga taska di bawah Kemas di Kubang Pasu ditutup bagi mencegah penularan Covid-19 selepas wujudnya Kluster Sivagangga sejak 13 Julai.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Yasid Bidin berkata, tindakan itu diambil berdasarkan kepada SOP yang dikeluarkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Akibat penularan kluster terbabit, empat mukim di Kedah iaitu Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu di Padang Sanai (Padang Terap) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran sejak 3 Ogos lalu.