Moratorium bersasar elak peminjam bankrap

Abd Rahim Bakri
Abd Rahim Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium bayaran balik pinjaman bank secara bersasar bagi mengelak peminjam dikenakan tindakan undang-undang berkaitan kebankrapan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, moratorium bersasar akan dapat memberi manfaat kepada ramai peminjam yang menghadapi masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.

Oleh demikian menurutnya, peminjam boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Proses yang sedang kita lakukan sekarang ialah melaksanakan moratorium bersasar.

“Sebab itu saya fikir untuk perkara-perkara tindakan undang-undang itu (kebankrapan) dapat dielakkan," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan kedua dikemukakan Hassan Abdul Rahim (PH-Pasir Gudang) mengenai tindakan kebankrapan terhadap peminjam dari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Akta Insolvensi 1967 dilulus dan digazetkan.

Dalam soalan tambahan pertama, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) bertanyakan mengenai kebolehupayaan pihak bank melanjutkan tempoh moratorioum bayaran balik pinjaman.

“Seperti mana dalam pakej Prihatin dan Penjana membabitkan peruntukan RM290 bilion dan RM100 bilion daripada jumlah itu merupakan inisiatif moratorium.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini sememangnya kerajaan, pihak bank telah pun menanggung RM6.66 bilion pakej moratorium tersebut bagi tempoh pelaksanaan inisiatif itu.

“Saya ingin menyatakan di sini bahawa bank sememangnya berkemampuan untuk melaksanakannya kerana bank mempunyai 'buffer' yang mencukupi untuk menanggung semuanya,” ujar Abd Rahim.

Tambah beliau, setiap keputusan untuk melanjutkan moratorium adalah dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dan penglibatan Persatuan Bank Bank Malaysia (ABM).