Empat ditahan pasang bendera terbalik

Suspek yang ditahan untuk membantu siasatan dalam kes memasang bendera Malaysia dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.
Suspek yang ditahan untuk membantu siasatan dalam kes memasang bendera Malaysia dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan empat pekerja termasuk seorang pengurus kilang berusia 56 tahun kerana memasang bendera Malaysia dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua lagi adalah pekerja wanita terdiri daripada seorang pegawai sumber manusia berusia 29 tahun dan seorang kerani logistik berumur 23 tahun.

"Seorang lagi adalah pekerja warga Bangladesh berusia 35 tahun yang ditugaskan memasang kedua-dua bendera tersebut. Kita turut merampas sehelai bendera Malaysia dan sehelai bendera Johor.

"Alasan yang diberikan (mereka) mengarahkan warga asing (memasang bendera tersebut) tetapi sebagai rakyat Malaysia kita kena prihatin, selia dan tengok (dan periksa warga asing berkenaan pasang bendera tersebut).

"Kita tidak boleh terima lagi alasan yang diberikan kerana warga asing yang (tersilap) pasang bendera," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kelmarin Ayob Khan memberi amaran terakhir akan menangkap dan melakukan siasatan terhadap mana-mana pihak yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik susulan sebuah sekolah jenis kebangsaan di Kluang yang berbuat demikian pada 4 Ogos lalu.

Alasan diberikan sekolah itu ialah seorang kakitangannya tersilap memasang bendera dan 'tidak disedari' sebelum Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail turun menyiasat dan memberikan nasihat, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Ayob Khan berkata, pihaknya kesal kerana masih terdapat mereka yang tergamak berbuat demikian dan antara suspek ditahan pula sudah berusia serta negara pula sudah merdeka selama 63 tahun.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut katanya, disedari seorang wania yang lalu di depan kilang berkenaan dan ternampak kedua-dua bendera itu dipasang terbalik sebelum membuat laporan polis semalam.

"Berdasarkan maklumat diterima orang awam, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato' Onn melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan pada jam 2.07 petang dan menahan empat pekerja tersebut," katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara berkenaan untuk menghubungi pihak polis di talian 07-2254074.