Pengurus syarikat didenda RM45,000 kerana tipu PERKESO

Seorang pengurus syarikat didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas mengaku bersalah menipu ejen PERKESO di bawah Program Penjana Kerjaya 3.0 berjumlah RM22,880, dua tahun lepas. - Gambar hiasan
Seorang pengurus syarikat didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas mengaku bersalah menipu ejen PERKESO di bawah Program Penjana Kerjaya 3.0 berjumlah RM22,880, dua tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengurus syarikat didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas mengaku bersalah menipu ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Program Penjana Kerjaya 3.0 berjumlah RM22,880, dua tahun lepas.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Al-Bukhari Abdullah, 38, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap dua daripada empat pertuduhan dan memerintahkan beliau dipenjara sembilan bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Al-Bukhari Pengurus Syarikat Vshine Metal & Plastic Trading, didakwa secara tidak jujur dan menipu PERKESO dengan mengemukakan nama individu dalam Data Program Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Intensif Pekerja, sedangkan individu terbabit bukan pekerja syarikatnya.

Tindakan lelaki itu menyebabkan Perkeso menyerahkan dana RM9,280 dan RM13,600 ke dalam akaun milik syarikat tertuduh bagi pertuduhan yang didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Pulau Pinang, masing-masing pada 22 November dan 5 Disember 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu ketika rayuan, peguam V.Parthipan yang mewakili tertuduh berkata ia kesalahan pertama anak guamnya, dan beliau menyesal serta berjanji tidak melakukan kesalahan itu pada masa akan datang.

Parthipan berkata, tertuduh mempunyai dua anak hasil perkahwinannya dengan seorang wanita warga Thailand, namun wanita itu sudah kembali ke negara asal dan meninggalkan kedua-dua anak perempuan berusia tiga dan setahun kepadanya.

"Anak guam saya juga kini berdepan masalah kewangan sangat teruk, selain berdepan dengan saman sivil daripada sebuah bank selepas gagal membuat bayaran pembelian lori, dan saya mohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minima kepada tertuduh,” katanya.

Pendakwaan yang diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Noor Azura Zulkiflee, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Wan Shaharuddin yang mengucapkan terima kasih kepada tertuduh kerana mengaku bersalah dan memendekkan tempoh perbicaraan berkata, mahkamah perlu memberikan hukuman sewajarnya sebagai mesej kepada orang ramai.

Hakim kemudian menetapkan denda RM10,000 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran itu boleh dipenjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama, manakala denda RM35,000 atau penjara enam bulan jika tidak dapat membayar denda tersebut bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah akan mempertimbangkan pertuduhan kedua dan ketiga yang dihadapi Muhammad Al-Bukhari. - Bernama