Empat penguat kuasa MBSA, penjual rokok seludup direman

Empat pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang peniaga haram berbangsa Aceh, Indonesia dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan tahanan reman.
Empat pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang peniaga haram berbangsa Aceh, Indonesia dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan tahanan reman.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan penjual rokok seludup warga Indonesia direman tujuh hari selepas dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan tersebut.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh tahanan reman itu bermula hari ini dan berakhir 18 Ogos depan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana rasuah.

Pegawai penguat kuasa MBSA yang berusia lingkungan 41 hingga 45 tahun itu dan penjual rokok berbangsa Aceh berusia 44 tahun diberkas SPRM dalam operasi di sekitar Sungai Buloh semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes judi Sungai Buloh: SPRM tahan pegawai MBSA

Menurut sumber, peniaga Aceh yang berusia 44 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah dipercayai telah berniaga sejak tahun 2019 dan dikatakan telah membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.

"Penguat kuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara RM300 RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan.

"Ini termasuk premis-premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat-tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian," katanya.

Menurutnya lagi, ada di antara mereka berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini," katanya.