Bersatu Kulai tidak tergugat ahli Armada keluar parti

Tosrin (kanan) bertemu penduduk di Kaunter Terbuka Yayasan Sejahtera Kulai di Pangsapuri Rakyat Jalan Cengal, Kulai hari ini.
Tosrin (kanan) bertemu penduduk di Kaunter Terbuka Yayasan Sejahtera Kulai di Pangsapuri Rakyat Jalan Cengal, Kulai hari ini.
A
A
A

KULAI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai kesal cubaan segelintir ahli Armada di peringkat cawangan yang mahu keluar daripada parti itu.

Ketua Bersatu Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi berkata, tindakan itu tidak melemahkan parti meskipun dilihat cuba memecah belahkan kesepaduan ahli di peringkat bahagian dan cawangan.

"Saya tidak nafikan ada ahli Armada Kulai yang mahu keluar parti, malah saya juga ada terima video pengumuman keluar parti, tetapi jumlah ahli dalam video itu sangat sedikit.

"Bersatu Kulai yang memiliki 24 cawangan dengan 3,712 ahli tidak akan tergugat dengan cubaan keluar parti yang dibuat segelintir ahli Armada ini.

"Mereka perlu singkap sejarah perjuangan parti tanpa menidakkan apa yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini masanya Malaysia berwajah baharu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kaunter Terbuka Yayasan Sejahtera Kulai di Pangsapuri Rakyat Jalan Cengal Kulai di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor menegaskan teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin dan tidak pernah menerima tawaran untuk menyertai parti baharu Dr Mahathir.

"Saya telah mendapat mandat dan kepercayaan daripada ahli-ahli sebagai Ketua Bahagian Bersatu Kulai dan tidak mungkin saya akan menyertai parti lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya tegaskan pendirian bahawa saya tidak akan sesekali keluar Bersatu apatah lagi keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN)," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai.