Warna asap petunjuk letupan Beirut bukan sebab ammonium nitrat

Kepulan asap berwarna jingga kemerah-merahan itu didakwa bukan disebabkan oleh ammonium nitrat. - Foto Agensi
Kepulan asap berwarna jingga kemerah-merahan itu didakwa bukan disebabkan oleh ammonium nitrat. - Foto Agensi
A
A
A

ROM - Pakar letupan terkemuka mendakwa letupan dahsyat di Beirut, Lubnan disebabkan oleh pembakaran peluru berpandu tentera dan bukan akibat bahan kimia berbahaya, ammonium nitrat seperti didakwa dalam laporan sebelum ini.

Daily Mail melaporkan Danilo Coppe, 56, dari Parmesan, Itali mengeluarkan teori bencana yang meragut 160 nyawa dan mengakibatkan 6,000 yang lain cedera itu berdasarkan warna kepulan asap yang berwarna jingga kemerah-merahan.

Coppe yang juga dikenali dengan nama samaran Mr Dynamite itu menjelaskan apabila berlaku letupan disebabkan oleh ammonium nitrat, ia akan menghasilkan kepulan asap berwarna kuning.

“Seharusnya ada pemangkin yang menyebabkan letupan tersebut. Anda boleh lihat dengan jelas warna kepulan asap itu yang menunjukkan terdapat litium dan jika dalam bentuk logam ia merupakan pendorong peluru berpandu tentera. Saya rasa wujud persenjataan di sana,” ujarnya.

Menurutnya, dia percaya letupan pertama itu bermula daripada kebakaran di tempat simpanan senjata tersebut.

“Ia kemudiannya merebak ke lokasi yang menempatkan bahan letupan tinggi yang terdapat pada roket atau misil,” tambahnya lagi.

Kelmarin, Iran menggesa negara antarabangsa supaya tidak mempolitikkan kejadian itu dan menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Lubnan.

“Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tujuan politik. Punca insiden itu perlu disiasat dengan teliti,” kata jurucakap Kementerian Luar, Abbas Mousavi selepas beberapa pihak sebelum ini menuduh Hizbullah yang disokong Teheran bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, kerajaan Lubnan dijangka menyaksikan peletakan jawatan beramai-ramai selepas dua menteri dan sembilan ahli Parlimen mengambil langkah sedemikian susulan insiden letupan dahsyat yang memusnahkan sebahagian besar Beirut.

Bencana itu turut memicu kemarahan awam dan siri protes baharu telah tercetus sejak akhir minggu lalu sebagai membantah korupsi, kecuaian dan ketidakcekapan pihak berkuasa. - Agensi