Lima beranak nyaris maut, MPV langgar longgokan guni berisi bahan kimia

Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja mengalihkan bahan-bahan kimia.
Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja mengalihkan bahan-bahan kimia.
A
A
A

MELAKA - Lima beranak nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh enam guni bahan mentah yang terjatuh daripada sebuah lori di Kilometer 210.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini pada pagi Jumaat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ayer Keroh, Penguasa Bomba Kanan I (KUP), Zainuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 6.59 pagi.

Menurutnya, seramai 24 anggota termasuk bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah telah dikejarkan ke lokasi dan dan setiba di tempat kejadian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan Honda Odyssey dinaiki keluarga terbabit.

"Pasukan bomba mendapati sebuah MPV jenis Honda Odyssey telah melanggar longgokan guni berisi bahan plastik mentah di lorong paling kanan.

"Bagaimanapun kesemua penumpang terdiri pasangan suami isteri dan tiga anak mereka terselamat dan tidak mempunyai sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila enam guni dipercayai terjatuh daripada sebuah lori yang membawanya sebelum dilanggar MPV berkenaan yang gagal mengelak.

"Pemandu lori juga tidak mengalami kecederaan dan operasi mengalihkan bahan-bahan kimia itu sedang dilakukan," katanya. Ends#