'Myanmar jadikan kehidupan Rohingya mimpi ngeri'

THE HAGUE – Gambia pada Isnin memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Myanmar secara sistematik menyasarkan minoriti Muslim Rohingya untuk dimusnahkan, sekali gus menjadikan kehidupan mereka satu mimpi ngeri dalam kes bersejarah yang menuduh negara Asia Tenggara itu melakukan genosid.
Kes berkenaan merupakan perbicaraan genosid penuh pertama yang didengar oleh ICJ dalam tempoh lebih sedekad, dengan keputusannya dijangka memberi implikasi melangkaui Myanmar termasuk terhadap kes genosid yang difailkan Afrika Selatan terhadap Israel berhubung perang di Gaza.
Myanmar menafikan dakwaan genosid tersebut manakala Israel turut menolak tuduhan serupa dalam kes berasingan.
Menteri Kehakiman Gambia, Dawda Jallow ketika berhujah di hadapan hakim ICJ berkata, komuniti Rohingya hanyalah rakyat biasa yang mengimpikan kehidupan aman dan bermaruah.
“Mereka telah disasarkan untuk dimusnahkan. Myanmar bukan sahaja merampas impian mereka, malah menukar kehidupan mereka menjadi satu mimpi ngeri dengan keganasan dan kemusnahan paling mengerikan yang tidak boleh dibayangkan,” katanya.
Gambia, sebuah negara majoriti Muslim di Afrika Barat, memfailkan kes itu pada 2019, menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid melalui tindakan ketenteraannya terhadap Rohingya di negeri Rakhine.
Pada 2017, angkatan bersenjata Myanmar melancarkan operasi besar-besaran yang memaksa lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dengan ramai mangsa mendedahkan kejadian pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran kampung.
Gambia dijadual membentangkan hujahnya selama tiga hari lagi, sebelum Myanmar memberi maklum balas pada 16 Januari.
Keseluruhan perbicaraan dijangka berlangsung selama tiga minggu. – Agensi
Ringkasan AI
- Gambia menuduh Myanmar menyasarkan minoriti Muslim Rohingya untuk dimusnahkan.
- Kes genosid ini adalah perbicaraan penuh pertama yang didengar ICJ dalam lebih satu dekad.
- Myanmar menafikan dakwaan genosid tersebut.
- Gambia memfailkan kes itu pada 2019, menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid.
- Operasi militer Myanmar pada 2017 memaksa lebih 730,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

