X

Kindly register in order to view this article
!

RM20.17 juta TBRS dimanfaatkan 2,774 usahawan mikro

Mas Ermieyati (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Meriam ketika melawat kedainya di Kampung Badang, Kota Bharu hari ini.
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) meluluskan RM20.17 juta pembiayaan bagi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) untuk membantu usahawan mikro yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dalam Negeri (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelulusan tersebut diberikan kepada 2,774 penerima dalam tempoh tidak sampai sebulan skim berkenaan dilancarkan pada 13 Julai lalu.

Menurutnya, sehingga 3 Ogos pihaknya menerima 6,454 permohonan dengan nilaian RM58.08 juta tetapi hanya 2,774 peminjam diluluskan setakat ini dengan jumlah RM20.17 juta.

“Kerajaan betul-betul mahu membantu usahawan mikro yang terjejas di seluruh negeri dengan segera dan untuk Skim TBRS kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi merangsang semula perniagaan mereka yang terjejas akibat Covid-19.

“Di Kelantan hari ini saya telah membuat lawatan terhadap empat penerima pembiayaan TBRS di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan saya amat berpuashati dengan perkembangan perniagaan serta komitmen bayaran balik mereka,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau melawat perusahaan keropok yang diusahakan Meriam Mohamad, 55, bersama suaminya, Ab Halim Yusoff, 59, dan turut menyerahkan replika cek pembiayaan TBRS bernilai RM100,000 di kedai mereka di Kampung Badang, Pantai Cahaya Bulan.

Mas Ermieyati (kiri) melihat pelbagai jenis keropok yang dijual di kedai Meriam di Kampung Badang, Kota Bharu yang mendapat sambutan dari dalam dan luar negeri.
Mas Ermieyati (kiri) melihat pelbagai jenis keropok yang dijual di kedai Meriam di Kampung Badang, Kota Bharu yang mendapat sambutan dari dalam dan luar negeri.

Hadir sama, Pengurus TEKUN Nasional Kelantan, Che Othman Che Wil.

Katanya, sebanyak 623 permohonan dibuat di Kelantan dengan nilaian RM5.101 juta yang mana negeri ini juga menjadi contoh dari segi komitmen bayaran balik di seluruh negara membabitkan usahawan wanita.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, pandemik Covid-19 telah menjejaskan 80,275 usahawan mikro dan 8.85 peratus sudah gulung tikar manakala lebih kurang 58.55 peratus yang terjejas telah beralih kepada perniagaan baharu.

Katanya juga, dengan pelbagai insentif termasuk bantuan diumumkan oleh kerajaan terhadap usahawan mikro, pihaknya mendapati ramai peniaga yang masih boleh bertahan sehingga sekarang.

“Apa yang kita khuatirkan adalah usahawan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebagainya, sedangkan dengan adanya SSM atau berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) ianya sudah membolehkan mereka dibantu menerusi skim TBRS ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati mahu usahawan mikro mengambil peluang di sebalik negara diuji dengan Covid-19 untuk memanfaatkan perniagaan dalam talian.

“Saya melihat satu perkembangan yang baik ketika pasca Covid-19 kerana secara tidak langsung ia telah mengubah cara mereka berfikir dan menerima media baharu supaya perniagaan terus relevan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!