'Titi gantung 24 tahun berjasa sebelum runtuh' - Penduduk

KUALA KRAI – Penduduk memohon agar titi gantung yang runtuh di Lata Rek di sini dibina semula secepat mungkin berikutan jasanya sejak puluhan tahun lalu sangat membantu dari pelbagai aspek termasuk persekolahan, aktiviti sosial serta ekonomi setempat.
Pembinaan titi oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada 2002 itu digunakan penduduk untuk ke kebun bagi menoreh getah serta mengutip hasil kelapa sawit dan durian.
Selepas runtuh pada Khamis lalu, keadaan titi yang merentasi generasi itu kini berlubang dan berbahaya kepada penduduk, sekali gus menyukarkan kehidupan harian mereka.
Bagi penoreh getah, Zubarina Seman, 53, titi tersebut bukan sekadar laluan tetapi menjadi nadi kehidupan harian keluarganya, malah tujuh anaknya membesar dan menyeberangi sungai melalui titi sepanjang 35 meter itu untuk ke sekolah.
“Nak keluar beli lauk pun kena lalu titi, kalau sakit nak ke klinik pun kami lalu titi ini juga.
“Bawa pesakit dalam kereta sorong dan usung melalui titi ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Chatel Damai, Lata Rek di sini pada Isnin.

Zubarina memberitahu, musim tengkujuh menjadi cabaran paling besar saban tahun kerana titi itu akan tenggelam menyebabkan 50 penduduk dari enam rumah di kampung seberang terkepung antara sebulan hingga dua bulan.
“Lima anak saya sudah berkeluarga dan tinggal di Selangor. Setiap kali balik kampung, mereka terpaksa tinggal kereta di seberang sungai dan punggah barang melalui titi yang bergoyang untuk ke rumah kami.
“Kalau banjir, titi tenggelam. Kami tak boleh keluar atau masuk, malah lebih teruk, kayu titi dihanyutkan arus,” ujarnya.
Menceritakan sejarah pembinaan titi di kawasan itu, Mat Daud Zakaria, 70, berkata, sejak 1967, keluarganya menetap di kampung berkenaan dan bergantung kepada titi kayu yang dibina sendiri oleh penduduk.
“Dulu setiap kali nak menyeberangi sungai untuk ke kebun, kami tebang pokok kayu besar jenis nerang dan tumbangkannya secara melintangi sungai.
“Waktu air cetek, boleh buat cara ini, tetapi kalau banjir, habis kayu dihanyutkan dan kami terpaksa tebang pokok lain pula selepas itu.
“Sampai satu masa, pokok dan kayu habis. Kami ikat pula rakit buluh dan letakkan kayu di atasnya untuk meniti ke seberang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerja-kerja baik pulih jambatan gantung yang runtuh semasa kenduri kahwin Khamis lalu akan bermula hujung Januari ini sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan penduduk yang menggunakan laluan berkenaan.
Tindakan tersebut akan dilaksanakan sementara kerajaan menilai keperluan sebenar untuk menggantikan jambatan kayu itu kepada jambatan konkrit yang boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Mat Daud memberitahu, titi gantung sedia ada hanya boleh dilalui pejalan kaki dan motosikal secara berhati-hati.
“Hasil kebun pula dibawa keluar guna pacuan empat roda atau lori dengan meredah sungai sedalam sehingga 0.6 meter ini,” jelasnya.
Sementara itu, ahli keluarag pasangan yang melangsungkan perkahwinan ketika titi itu runtuh, Wan Syukri Wan Isa, 53, turut menekankan kesukaran akibat ketiadaan laluan selamat untuk penduduk setempat menyeberangi sungai.
“Kereta terpaksa ditinggalkan di seberang. Nak cari makan harian pun kena jalan atas titi yang berlubang dan bergoyang.
“Kami harap jambatan baharu yang kukuh dan boleh dilalui kereta dibina segera,” katanya.
Ringkasan AI
- Penduduk memohon agar titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai yang runtuh dibina semula kerana penting untuk aktiviti harian termasuk ke sekolah, sosial dan ekonomi
- Titi dibina oleh KESEDAR pada 2002 digunakan untuk ke kebun dan pengangkutan hasil kebun
- Runtuhnya titi menyebabkan kesukaran besar kepada penduduk, menambah bahaya dan mengganggu kehidupan daily
- Musim tengkujuh atau banjir adalah cabaran besar bagi penduduk dengan titi yang boleh tenggelam
- Kerja-kerja baik pulih titi akan dimulakan hujung Januari sebagai langkah segera untuk keselamatan penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

