130kg teh tiruan dirampas di Kelantan

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan merampas 130 kilogram (kg) teh tiruan bernilai RM3,963 dalam operasi bersepadu yang dijalankan di negeri ini dari 24 November hingga 9 Disember tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan di kedai runcit, pemborong, restoran dan pasar raya.
“Sebanyak 20 premis diperiksa dan 130kg teh tiruan bernilai RM3,963 dirampas.
“Sepanjang pemeriksaan, dua notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan, Pengkompaunan Kesalahan 2017 dengan nilai RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, tindakan itu sebahagian daripada usaha membanteras penjualan produk teh yang tidak mematuhi standard keselamatan makanan.
Tambahnya, selain rampasan, sepanjang tahun lepas, tiga syarikat pembekal teh didakwa di mahkamah kerana melanggar Peraturan 260(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, yang melarang penggunaan pewarna tiruan dalam serbuk teh.
“Hukuman yang dijatuhkan termasuk satu kes di Kota Bharu yang didenda RM5,000 dan dua kes di Machang denda RM1,500 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM8,000.
“Di bawah peraturan ini, teh tidak boleh mengandungi sebarang pewarna sama ada dibenarkan atau tidak,” kata Dr Azman.
Sepanjang tahun lalu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKN Kelantan juga menjalankan pelbagai operasi bersepadu dan bertema, memberi tumpuan kepada premis yang menjual produk teh tiruan atau yang tidak mematuhi pelabelan.
Rampasan dan pengeluaran notis kesalahan adalah sebahagian daripada langkah penguatkuasaan berterusan bagi memastikan pematuhan syarikat pembekal dan pengedar.
“Jabatan ini akan memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan bebas penipuan sepanjang rantaian,” katanya.
Dr Azman turut menasihatkan orang ramai agar melaporkan sebarang maklumat berkaitan pewarna teh tiruan atau pelabelan tidak sah kepada JKN atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
“Maklumat daripada orang awam amat penting dalam membanteras pengedaran produk makanan yang tidak selamat.
“JKN Kelantan menegaskan tindakan penguatkuasaan akan berterusan sepanjang tahun bagi memastikan semua makanan di pasaran selamat, berkualiti dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas 130 kilogram teh tiruan
- Operasi bersepadu melibatkan pemeriksaan di kedai runcit, pemborong, restoran dan pasar raya
- Dua notis kesalahan dikeluarkan bernilai RM1,000 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan, Pengkompaunan Kesalahan 2017
- Tiga syarikat pembekal teh didakwa di mahkamah kerana penggunaan pewarna tiruan
- Dr Azman menasihatkan orang ramai melaporkan maklumat berkaitan pewarna teh tiruan atau pelabelan tidak sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

