'Ayah 'pergi' ketika kami tunggu untuk berbuka puasa sama-sama'

KOTA BHARU – Lapan tahun lalu, hidupnya berubah sekelip mata apabila insan ditunggu-tunggu tidak pulang untuk berbuka puasa, sebaliknya khabar duka diterima apabila bapanya maut dalam kemalangan jalan raya.
Kehilangan itu memaksa Muhammad Zarhan Asyraf Mohd Zulkhairi, 16, belajar erti tanggungjawab lebih awal demi ibu dan dua adiknya.
“Saya ingat lagi ayah keluar untuk balik rumah waktu nak berbuka puasa.
“Lepas itu, kami dapat berita ayah kemalangan, sampai sekarang saya masih rindu ayah,” katanya ketika ditemui selepas Program Kembali ke Sekolah The Third Force (3rd Force) Pasir Mas di sebuah pasar raya di Tunjong pada Isnin.
Dia yang menetap di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, rajin membantu ibunya, Rosmawati Hassan, 43, yang menjual ais krim Malaysia secara dalam talian dengan menghantar dan menguruskan barangan jualan selain beberapa barangan lain di sekitar Pasir Mas.
“Waktu cuti sekolah terutamanya, saya akan tolong ibu hantar barang sebab tak sanggup tengok dia penat,” katanya.

Muhammad Zarhan berkata, Ibunya berkahwin lagi tiga tahun lalu dan mereka tiga beradik menerima kasih sayang bapa tiri, Zulhasanan, 40, yang bekerja sebagai pesawah selain mempunyai seorang lagi adik berusia tiga tahun.
Arwah bapa kandungnya, Mohd Zulkhairi Badiauzaman merupakan seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dipercayai akibat baju hujan dari dalam bakul motosikal tersangkut pada tayar.
Kenangan bersama Allahyarham masih segar dalam ingatan Muhammad Zarhan, terutama saat dibawa membeli mainan dan meluangkan masa bersama keluarga.
Minat Muhammad Zarhan terhadap pakaian seragam dan badan beruniform turut lahir daripada kekaguman terhadap arwah ayah.
“Saya suka uniform sebab nampak segak.
“Saya nak belajar rajin-rajin sebab nak jadi polis trafik atau bomba supaya boleh selamatkan nyawa orang,” katanya sambil menambah bapa saudaranya juga merupakan bekas anggota bomba.
Dalam pada itu, kehidupan Muhammad Zarhan sebagai anak yatim tidak terabai apabila keperluan persekolahannya terus terbela hasil bantuan berterusan daripada badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Muhammad Zarhan berkata, dia mula menerima bantuan persekolahan sejak Tahun Enam dan sehingga kini, kelengkapan seperti pakaian sekolah, kasut, beg serta keperluan pembelajaran disediakan 3rd Force.
“Alhamdulillah, semua cukup. Jadi saya boleh fokus belajar tanpa risau,” katanya.
Sementara itu, Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Zailah Shafie, berkata, Muhammad Zarhan antara 44 anak asnaf dan anak yatim dari Pasir Mas menerima sumbangan kelengkapan sekolah bernilai hampir RM10,000 hasil kerjasama pihak korporat, NGO serta 3rd Force.
“Tahun lalu seramai 40 orang menerima bantuan dan tahun ini meningkat kepada 44 orang.
“Kami mahu pastikan anak-anak ini belajar dengan lebih baik walaupun diuji kehilangan ibu atau bapa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

