Bekas ADUN Chetok meninggal dunia

PASIR MAS - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman, 65, meninggal dunia pada Isnin.
Allahyarham yang berkhidmat bagi penggal 2004 hingga 2018 itu sebelum ini terkena serangan penyakit angin ahmar dan darah tinggi, menghembuskan nafas terakhirnya di rumah di Kampung Tok Dap, Tok Uban, di sini kira-kira jam 3 petang.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam satu hantaran di laman sosial Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Sebulan yang lalu, saya sempat menziarahi beliau di kediamannya. Ketika itu, kami berbual ringkas, berkongsi kenangan dan bertanya khabar dalam suasana yang penuh keakraban. Tidak terlintas di hati bahawa pertemuan tersebut menjadi antara yang terakhir.
"Hari ini (Isnin), saya menerima khabar yang amat menyedihkan tentang pemergian seorang sahabat baik, Allahyarham Ustaz Haji Abdul Halim Abdul Rahman, mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok," tulisnya.
Mohd Nassuruddin memberitahu, Allahyarham dikenang sebagai seorang yang istiqamah, rendah hati, ikhlas berbakti serta sentiasa mendahulukan kepentingan agama dan rakyat.
Sementara itu ADUN Chetok, Zuraidin Abdullah menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan besar buat Pas di kawasan Chetok.
Beliau berkata, sepanjang tiga penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat, Allahyarham telah memberikan sumbangan bakti terbaik kepada masyarakat di Chetok.
Ringkasan AI
- Bekas ADUN Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat penyakit angin ahmar dan darah tinggi
- Meninggal dunia di rumahnya di Kampung Tok Dap, Tok Uban
- Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
- Dikenang sebagai individu istiqamah, rendah hati, dan ikhlas berbakti
- Penyumbang bakti terbaik kepada masyarakat Chetok sepanjang tiga penggal perkhidmatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

