Nur Ainul Darwisya meninggal dunia

TANAH MERAH - Remaja perempuan yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak kecil dan sering disalah anggap sebagai kanak-kanak kerana bentuk fizikalnya meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, awal pagi Isnin.
Nur Ainul Darwisya Mohd Zulfikri, 16, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.15 pagi selepas dimasukkan ke hospital pada Ahad akibat sesak nafas.
Bapanya, Mohd Zulfikri Yahaya, 41, berkata, anak sulung daripada lapan beradik itu sepatutnya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), namun terpaksa dirawat di wad biasa berikutan kekangan kekosongan katil.
Menurutnya, keadaan kesihatan arwah mula menunjukkan kemerosotan sejak seminggu lalu apabila hilang selera makan.
"Kehilangan arwah amat dirasai kerana lebih 11 tahun masa dihabiskan untuk menguruskan keperluan hariannya dan rawatan dialisis yang perlu dijalani tiga kali seminggu.
“Kebanyakan masa saya luangkan bersama arwah dan terlalu banyak kenangan yang sukar dilupakan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Zulfikri berkata, dia dan keluarga reda dengan pemergian anaknya itu selepas sekian lama menanggung kesakitan.
"Walaupun sering dimaklumkan supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan, kami sekeluarga cuba untuk kekal tabah dan tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan.
“Lewat malam tadi, saya sempat berbual dengannya dan seperti biasa dia memohon maaf kerana merasakan dirinya banyak menyusahkan keluarga sepanjang tempoh rawatan,” katanya.
Jenazah Nur Ainul Darwisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Gajah di sini.

Sinar Harian pada 12 Januari 2024 lalu melaporkan bentuk fizikal seakan-akan kanak-kanak menyebabkan Nur Ainul Darwisya sering disalah anggap walaupun usianya sudah menginjak belasan tahun.
Penyakit buah pinggang dihidapinya sejak berusia empat tahun itu menyebabkan kedua belah kakinya mengecil serta tangan mulai membengkok selain wajahnya turut mengalami perubahan.
Ringkasan AI
- Remaja perempuan yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak kecil meninggal dunia di Hospital Tanah Merah
- Nur Ainul Darwisya Mohd Zulfikri, 16, meninggal dunia akibat sesak nafas setelah dimasukkan ke hospital
- Anak sulung dari lapan beradik itu tidak dapat dirawat di ICU kerana kekurangan katil dan dirawat di wad biasa
- Bapanya, Mohd Zulfikri Yahaya, menghabiskan lebih 11 tahun merawat dan mengurus keperluan harian Nur Ainul Darwisya
- Jenazah Nur Ainul Darwisya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Gajah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

