X

Kindly register in order to view this article
!

Penggunaan tulisan jawi berkait Akta Bahasa Kebangsaan

Abd Rahim Muda
A
A

KUANTAN - Penggunaan tulisan jawi mempunyai kaitan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 sebagaimana undang-undang berhubung penggunaan bahasa kebangsaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, justeru penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di negeri ini tidak seharusnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, berdasarkan akta itu, bahasa kebangsaan atau tulisan adalah rumi dan jawi yang ditaksirkan sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya minta jangan jadikan perkara ini (tulisan jawi) sebagai satu isu dan mana-mana pihak tidak boleh menyentuh isu tulisan jawi atau jawi kerana ia telah diwartakan bagi kerajaan Persekutuan atau mana-mana negeri.

"Malah, sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu dan tulisan jawi telah memainkan peranan besar kepada kerajaan Melayu Melaka dan generasi muda harus menyusuri sejarah bahasa serta tulisan jawi yang telah meningkatkan hubungan perdagangan Tanah Melayu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 30 Julai lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan.

Permohonan itu telah menamakan Majlis Daerah Raub dan kerajaan Pahang sebagai responden itu memohon mahkamah menyemak semula arahan kerajaan negeri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut mengenai tindakan Yu Hui, beliau berkata, kerajaan Pahang telah memberikan tempoh selama setahun kepada semua premis di negeri ini untuk memasang papan tanda dalam tulisan jawi.

Katanya, sebelum dasar ini dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, PBT sudah memberikan nasihat dan turut mengeluarkan saman kepada mana-mana premis yang ingkar.

"Jadi, tempoh masa yang diberikan itu sudah mencukupi dan tidak seharusnya isu ini terus diperbesarkan," katanya.

Abd Rahim menambah, daerah Pekan telah menjadi daerah perintis program dalam memartabatkan tulisan jawi oleh Majlis Daerah Pekan bagi penggunaan tulisan jawi di papan tanda perumahan dan jalan di kawasan perumahan sejak tahun 2005.

Jelasnya, penggunaan tulisan jawi di papan tanda premis di negeri ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 November 2018.

“Seri Paduka Baginda bertitah supaya tulisan jawi diluaskan penggunaannya di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh negeri ini bagi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir pada ketika ini.

“Seri Paduka Baginda turut menitahkan supaya penggunaan bahasa jawi diperkasakan, dibudayakan dan tidak mahu tulisan ini hilang begitu sahaja. Oleh itu, Seri Paduka Baginda berkenan akan penggunaan tulisan jawi di bangunan sebagai sebuah identiti yang perlu dibanggakan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!