Pemilik kenderaan guna lampu brek berkelip-kelip buat hati jadi sakit

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan simpati kepada ramai sahabat yang pulang ke kampung untuk meraikan Hari Raya Aidiladha beberapa hari lepas.

Ramai mengadu terpaksa menempuh kesesakan jalan raya yang teruk tetapi keadaan itu memang sudah dijangka berlaku setiap tahun.

Apatah lagi, ramai yang tidak dapat pulang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu kerana negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesesakan lalu-lintas itu bagi Merak Jalanan pun sebagai satu daripada keseronokan untuk balik kampung sebenarnya.

Cuma yang tidak seronoknya, kecohlah dalam media-media sosial yang membangkitkan tentang isu penggunaan lampu brek belakang yang tidak mengikut spesifikasi.

Menurut sahabat Merak Jalanan, dia sakit hati betul dengan penggunaan lampu brek yang berkelip-kelip sehingga mengganggu penglihatan.

Pemilik kenderaan yang memasang lampu brek yang berkelip-kelip itu memang tidak ada hati perut dan mementingkan diri sendiri sahaja.

Sudah sampai masanya untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat operasi besar-besaran bagi memastikan pemilik kenderaan berkenaan mematuhi peraturan.

Artikel Berkaitan:

Janganlah dibiarkan penggunaan lampu brek berkelip-kelip dibiarkan terus berleluasa dan menganggu pengguna jalan raya yang lain.

Sudahlah sahabat Merak Jalanan menghadapi tekanan kerana terpaksa memandu berjam-jam untuk sampai ke kampung halaman di Kelantan, ditambah dengan penggunaan lampu brek berkelip-kelip memang membuatkan tekanan darah naik mendadak dan hati bertambah sakit.