Pemilik kenderaan boleh pertikai saman ekor

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Saman tembak laju atau saman ekor berfungsi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sah di sisi undang-undang walaupun tidak ditandatangan.

Pakar undang-undang, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bagaimanapun berkata, penerima notis atau pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan boleh mempertikaikan saman tersebut di mahkamah.

Menurutnya, ia hanya boleh dipertikai sekiranya tidak selaras dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana peraturan bawah akta tersebut.

“Saman ekor telah dilaksanakan berpuluh-puluh tahun. Ia berfungsi seperti AES. (Namun) AES sendiri saya tidak pernah dengar ia dipertikaikan di mahkamah.

“Untuk saman ekor, pemilik kenderaan akan menerima saman melalui pos dan perlu buat bayaran.

“`Sekiranya gagal, penerima notis boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan dalam notis saman untuk pemilik kenderaan membuat bayaran atau menyatakan maklum balas mengenai kesalahan tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Di mahkamah, penerima-penerima saman boleh mempertikaikan saman tersebut dengan memberi alasan (bukti) bahawa mereka tidak melalui jalan tersebut,” jelas Nik Kamal.

Artikel Berkaitan:

Bermula pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melaksanakan operasi saman ekor di seluruh negara.

Operasi dilaksanakan itu bagi mengesan para pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.