Covid-19: Dua kes positif baharu

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, iaitu kes penularan dalam negara melibatkan rakyat tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kes berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes positif Malaysia 9,001 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 208 kes.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan hari ini. Perincian kes penularan di dalam negara Covid-19 adalah di Kedah satu kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan di Wilayah Persekutuan Labuan satu kes iaitu saringan rawak di lapangan berkaitan pelajar kolej,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini.

Katanya, terdapat empat kes Covid-19 yang telah pulih pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya berjumlah 8,668 kes (96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Memperincikan kes indeks Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, ia melibatkan kes import dengan kes indeks merupakan seorang pemilik kedai makan pulang ke Malaysia dari India dan didapati gagal mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Katanya, ketidakpatuhan itu menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 meluas dalam kluster itu.

"Setakat hari ini, 425 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, 21 kes dikesan positif Covid-19, 362 negatif dan 42 kes masih menunggu keputusan.

“Penularan tersebut turut dikenal pasti melalui aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Namun begitu, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri menghadapi cabaran dalam menjalankan sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat kerana kedai makan yang terbabit didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kes baharu kluster itu telah dilaporkan hari ini melibatkan kes ke-9,000 yang merupakan seorang pelanggan tetap kedai makan tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pesakit menjalani saringan Covid-19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif.

"Pada 31 Julai, pesakit mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

“Hanya satu hari kemudiannya, iaitu selepas penglibatan dalam aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes (ke-9,000) memaklumkan bahawa beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif Covid-19.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” katanya.

Mengambil iktibar daripada kes ini, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes positif Covid-19 atau maklumat berkaitan daripada pihak berkuasa.

Tegasnya, orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 kerana ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu wujud dalam diri setiap individu agar dapat membendung penularan jangkitan Covid-19.

Menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera melalui laman sesawangnya, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, kerajaan mewajibkan penggunaan aplikasi ini di semua premis bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19.

Selain Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, terdapat kluster aktif lain juga didapati berpunca daripada kes import yang tidak HSO iaitu Kluster Elsa, Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster PUI Shirala.- Bernama