X

Kindly register in order to view this article
!

Pemakaian pelitup muka hanya wajib di tempat sesak

Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak dan tidak diwajibkan di kawasan luas dan ada penjarakan fizikal. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak dan tidak diwajibkan di kawasan luas dan ada penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tempat awam yang sesak ialah pasar awam, pasar tani, pasar malam dan pasar raya selain tempat tumpuan pelancong serta panggung wayang.

Namun begitu, katanya, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di dalam kenderaan sendiri dan semasa melakukan aktiviti fizikal.

“Semalam, tular di media sosial mereka yang di dalam kereta persendirian dikenakan tindakan, (ini) tidak betul, kereta persendirian bukan kenderaan awam. Kalau dengan keluarga, kawan tempat kerja naik sekali setiap hari menumpang, tidak perlu ambil tindakan.

“Begitu juga tempat awam (tidak) sesak, padang bola adalah tempat awam, kalau ada penjarakan fizikal tidak perlu pakai mask (pelitup muka), kalau kawasan luas tidak diwajibkan tetapi pelitup muka digalakkan di mana-mana tempat sesak, tepi pantai kalau seorang takkan kena saman,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju untuk membatalkan saman yang dikenakan ke atas mereka yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam kenderaan persendirian.

Sementara itu, beliau berkata, pemakaian pelitup muka juga tidak diwajibkan bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah.

"Kanak-kanak 2 tahun ke bawah tidak perlu pakai (pelitup muka) tetapi untuk menjaga keselamatan mereka kita tidak menggalakkan anak kecil 2 tahun ke bawah dibawa ke kawasan awam kerana takut jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM telah mengeluarkan kompaun kepada 209 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (13 individu), premis beroperasi lebih masa (31), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (50) dan lain-lain aktiviti yang melanggar SOP (115).

“Semalam, PDRM juga menahan dua warga asing ketika sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja pula berjaya melakukan dua siri tangkapan melibatkan enam pendatang tanpa izin bersama seorang tekong darat tempatan dan dua tekong laut warga Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, setiap premis perniagaan mesti menggunakan aplikasi MySejahtera namun mereka juga dibenarkan menggunakan aplikasi tambahan seperti di Selangor yang mempunyai SELangkah.

"Apps MySejahtera wajib ada ... Peguam Negara akan mewartakan untuk mewajibkan penggunaan MySejahtera dan pengecualian dibenarkan di bandar kecil atau luar bandar yang tidak mempunyai internet dan mereka masih boleh menggunakan cara manual," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!