Pergi kerja, hadir mesyuarat punca tertinggal anak dalam kereta

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta.

“Pada tahun ini sebanyak dua kes dilaporkan, 2019 dan 2018 masing-masing dua kes. Walaupun, bilangan kes tidak menunjukkan jumlah yang besar, namun ia melibatkan nyawa anak kepada ibu bapa dan penjaganya.

“Memandangkan kes ini satu isu yang begitu besar dan betapa seriusnya insiden sebegini, kementerian mengambil langkah pencegahan advokasi dan intervensi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu situasi semasa serta tindakan konklusif KPWKM dalam menangani kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta secara tidak sengaja oleh ibu bapa mahupun penjaga.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, kerajaan meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan 'atau bertindak secara cuai'.

“Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” katanya sambil menambah perkhidmatan kaunseling turut diberikan kepada ibu bapa yang terkesan dengan kes seumpama itu.

Beliau berkata, KPWKM sentiasa melaksanakan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menjalankan program kesedaran awam terhadap isu berkenaan antaranya menerusi program Pendidikan Keselamatan Keluarga, Anak-anak (PEKA) dan kursus pra perkahwinan iaitu Smartstart.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian juga menerima maklum balas daripada masyarakat dan ibu bapa yang kemudiannya telah dibincangkan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.

“Antara (perbincangan itu) bayi tidak boleh diletakkan di kerusi belakang pemandu kerana ia merupakan titik buta dan meletakkan beg keperluan anak di tempat duduk hadapan bagi memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa anak mereka berada di dalam kereta,” katanya. - Bernama