Elak terjebak sindiket ‘lot lidi’

Muhammad Sanusi (tengah) menyerahkan surat hak milik tanah kepada penerima dari daerah Baling hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) menyerahkan surat hak milik tanah kepada penerima dari daerah Baling hari ini.
A
A
A

BALING - Pemilik tanah diingatkan agar tidak menjual atau menambah bilangan tuan baharu sewenang-wenangnya setelah diberikan hak milik oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti yang disebut sebagai sindiket ‘lot lidi’ ini antara masalah dihadapi kerajaan negeri khususnya pentadbiran tanah.

Menurutnya, adalah menjadi kebimbangan sekiranya pembeli tidak boleh dimasukkan nama ke dalam geran hak milik terbabit setelah urusan jual beli selesai.

“Saya harap semua lapisan masyarakat tidak mudah diperdaya dengan urusan jual beli tanah sedemikian. Ini kerana ia mendatangkan risiko kepada pembeli apabila urusan jual beli seperti itu tidak boleh didaftarkan di pejabat tanah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat hak milik tanah peringkat daerah Baling hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 77 surat hak milik tanah diserahkan kepada penduduk daerah Baling.

Muhammad Sanusi berkata, orang ramai dinasihatkan merujuk terlebih dahulu ke pejabat tanah sebelum membuat keputusan membeli tanah-tanah lot lidi yang ditawarkan.

“Jangan cari duit segera melalui cara ini, lebih baik usahakan tanah terbabit untuk pulangan jangka panjang. Terdapat satu geran yang dikongsi sehingga 30 orang, ia akan menyukarkan pembeli di kemudian hari apabila berlaku kematian atau pengambilan tanah menyebabkan sukar diberikan pampasan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu ada individu atau syarikat besar turut berebut tanah yang diusahakan orang miskin atau peneroka sedangkan apabila hak milik tanah diserahkan kepada mereka, tanah berkenaan tidak diusahakan.

Artikel Berkaitan:

“Golongan seperti itu sudah ada banyak tanah tetapi masih mahukan hak milik walaupun tanah direbut itu dibiarkan semak atau hutan. Kerajaan negeri akan mengutamakan hak milik kepada orang kampung, peneroka yang sudah bertahun-tahun mengusahakan tanah tersebut,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) sentiasa memperhalusi permohonan tanah daripada penduduk yang mengusahakan tanah walaupun ada permohonan melebihi 20 tahun.

“Ketika tanah itu masih tidak dipunyai milikan sah, mereka mengusahakan dan berhak untuk mendapat hak milik tanah terbabit. Istilah Tanah Kerajaan akan diubah kepada Tanah Bertuan yang mana pemiliknya sah di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik tanah agar menunaikan kewajipan untuk membayar cukai tanah yang merupakan antara sumber menjana pembangunan negeri.

“Bayangkanlah jika tidak ada tunggakan atau semua pemilik tanah bayar cukai setiap tahun, macam-macam kemudahan dapat disediakan oleh kerajaan untuk dinikmati semua.

"Oleh itu, bertanggungjawab dalam membayar cukai bagi memastikan kerajaan dapat tunaikan tanggung jawab kepada rakyat dengan lebih baik daripada hasil diperoleh,” katanya.