Zakat Melaka mahu wujud Enakmen Zakat, Fitrah

Ibrahim (kiri) menerima replika cek zakat perniagaan daripada Koperasi Seri Pengkalan Alor Gajah Berhad ketika Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Koperasi 2020 di Ayer Keroh,di sini, hari ini.
Ibrahim (kiri) menerima replika cek zakat perniagaan daripada Koperasi Seri Pengkalan Alor Gajah Berhad ketika Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Koperasi 2020 di Ayer Keroh,di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Zakat Melaka berhasrat memperkenalkan Enakmen Zakat dan Fitrah bagi menggalakkan masyarakat melunaskan tuntutan zakat bagi membolehkan orang ramai membayar zakat seperti mereka membayar cukai pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ibrahim Fadzil berkata, bagi merealiasikan enakmen itu, pihaknya akan membuat perbincangan lanjut sebelum ia diusulkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.

"Jadi, kalau mereka tidak bayar, mereka boleh diambil tindakan atau dikenakan denda dan sebagainya.

"Kita dapati ada individu hanya membayar zakat di atas budi bicara dan kehendak sendiri. Oleh itu, enekmen tersebut penting untuk dikuatkuasakan," katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Koperasi 2020 di Ayer Keroh,di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata, Zakat Melaka merekodkan penurunan kutipan zakat iaitu sebanyak 8.81 peratus dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang penurunan adalah disebabkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak pertengahan Mac lalu yang menyaksikan semua kaunter zakat terpaksa ditutup selama tiga bulan.

"Berkemungkinan kita berdepan kesukaran untuk mencapai kutipan RM104.6 juta yang disasarkan tahun ini memandangkan berlaku penurunan dari segi pembayar dan jumlah bayaran zakat.

"Bagaimanapun kita berharap menjelang hujung tahun ini, akan ada peningkatan dari segi kutipan zakat memandangkan banyak syarikat-syarikat mungkin membayar zakat mengikut audit tahun lepas," katanya.

Artikel Berkaitan: