Tuntutan waris Sulu: 'Biar orang lain jawab' - Anwar

Anwar bersama Wan Azizah ketika melawat medan selera selepas perasmian D'Anjung Medan Selera Madani Jalan Jujur Bandar Tun Razak pada Sabtu. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
Anwar bersama Wan Azizah ketika melawat medan selera selepas perasmian D'Anjung Medan Selera Madani Jalan Jujur Bandar Tun Razak pada Sabtu. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak yang sepatutnya untuk menjawab berhubung isu tuntutan waris Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

"Itu biar orang lain jawab," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan D'Anjung Selera Madani pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan waris Sulu yang bertindak biadab apabila menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meminta bayaran pampasan.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan surat itu dihantar beberapa hari lalu dengan mendakwa mereka berhak ke atas tuntutan AS$14.92 bilion (RM68.5 bilion) yang kini turut dikenakan faedah AS$16 bilion (RM73.46 bilion).

Kumpulan Sulu membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Stampa telah mengeluarkan final award dan keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.