X

Kindly register in order to view this article
!

PM umum lanjutan moratorium, bantuan bank bersasar 3 petang ini

Poster Pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar jam 3 petang ini yang turut dimuat naik di Facebook rasmi Muhyiddin sebentar tadi.
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat Pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar jam 3 petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi poster pengumuman berkenaan yang turut dimuat naik dalam media sosial termasuk akaun Facebook rasmi Muhyiddin.

Pengumuman tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi rangkaian televisyen tempatan; Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

Berita baik itu dijangka memberi kelegaan kepada rakyat kerana sebahagian besar masih mengharapkan moratorium itu dilanjutkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, 21 Julai lalu dilaporkan berkata, kerajaan dan bank mengkaji lebih banyak bantuan bersasar kepada peminjam selepas moratorium bayaran balik pinjaman berakhir 30 September nanti.

Menurutnya, ia termasuk pilihan pembiayaan semula berikutan sebahagian peminjam swasta dan perniagaan kini telah dapat membayar semula pinjaman mereka selepas menjana pendapatan apabila ekonomi dibuka semula pada Mei.

"Langkah seterusnya, (kami) masih berbincang dengan bank (mengenai) pertolongan secara lebih tersasar. Satu contohnya adalah memanjangkan tempoh bayaran, mengubah terma dan syarat, mengurangkan kadar faedah dan memberi pelepasan lain," katanya.

Terdahulu pada 28 Jun lalu, kata Tengku Zafrul, hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi secara automatik kepada semua seperti sebelum itu.

Malaysia antara negara terawal melaksanakan moratorium secara automatik selain Singapura, Thailand, Indonesia, Itali, Kanada dan Amerika Syarikat tetapi hanya negara ini memberi moratorium selama enam bulan.

Setakat 20 Julai lalu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM59 bilion sejak kemudahan itu dikuatkuasakan pada 1 April dan memanfaatkan keseluruhannya 7.7 juta rakyat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!